Friday, 8 January 2010

Program Khas LINUS : TPM Tan Sri Muhyiddin

PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, semua murid Tahun Satu akan menjalani ujian khusus selepas dua bulan memulakan persekolahan bagi menguji tahap penguasaan dalam menulis, membaca dan mengira (3M) selaras dengan pelaksanaan program Literasi dan Numerasi (Linus).
Menerusi ujian itu, murid yang dikenal pasti lembap dalam pembelajaran akan dimasukkan ke kelas pemulihan, manakala yang mengalami kecacatan fizikal seperti masalah telinga atau mata ditempatkan di kelas pendidikan khas di sekolah sama.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu adalah antara empat inisiatif sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memperkukuhkan tahap literasi murid sekolah rendah daripada 87 peratus tahun lalu kepada 90 peratus tahun ini.
Tiga lagi sasaran awal empat sub NKRA ialah meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi dan merangka insentif berbentuk kewangan serta bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah.
Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata program Linus akan disokong dengan penempatan guru terbaik untuk mengajar murid Tahun Satu, selain menambah guru pemulihan pada nisbah satu guru bagi 15 murid berbanding satu guru untuk satu sekolah sekarang.

"Penambahan guru ini akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran menulis, mengira dan membaca," katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga kementeriannya di sini semalam, yang turut disiarkan secara langsung menerusi RTM, TV3, Astro Awani dan Eduweb.

selanjutnya...Berita Harian Online 8/1/2010

No comments:

Post a comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa