Friday 28 January 2011

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Novel Interlok terus digunakan

Tajuk utama Utusan Malaysia pada 28 Januari 2011. Isu dan kemelut novel Interlok karya SN Datuk Abdullah Hussein akhirnya menemui jalan penyelesaiannya dengan sedikit pindaan. Menurut YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, hasil daripada perbincangan dengan beberapa pihak terbabit termasuklah dengan penulisnya sendiri, kabinet bersetuju novel berkenaan terus digunakan sebagai teks komsas Tingkatan 5 mulai 2011. Namun demikian, novel tersebut akan mengalami sedikit pindaan kecil terhadap beberapa bahagian yang dianggap sensitif. Satu panel ditubuhkan bagi menyediakan garis panduan terhadap pindaan yang dimaksudkan. Adalah diharapkan dengan keputusan kabinet ini, semua pihak dapat menerimanya dengan hati terbuka tanpa sebarang prejudis yang boleh mengganggu proses pembelajaran pelajar yang terlibat dalam penggunaan teks tersebut.

Wednesday 26 January 2011

Makluman: Bahan Teks Baharu Komsas Tingkatan 2 dan Tingkatan 5

Makluman kepada semua guru Bahasa Melayu Tingkatan 2 dan Tingkatan 5 bahawa bahan modul pengajaran dan pembelajaran bagi teks baharu Komsas T2 dan T5 masih di dalam proses pemurnian. Selain itu, pihak 'admin' masih menghadapi masalah teknikal untuk memuatnaik (upload) bahan yang disediakan oleh JU Komsas yang terlibat di dalam Taklimat Pendedahan Teks Baharu Komsas T2 dan T5 yang diadakan di BTPN pada 19 dan 20 Januari 2011 yang lalu. Oleh itu pihak kami meminta semua guru Bahasa Melayu yang berkaitan bersabar sedikit masa lagi. Sementara itu guru-guru boleh meneruskan proses P&P teks baharu komsas tersebut dengan menggunakan kreativiti dan inovasi masing-masing.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa