Friday 21 November 2008

SMIP: Anugerah Sekolah Cemerlang 2008

3 - 4 Nov. Serdang - SMK Ismail Petra, Kota Bharu telah memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang kategori Sekolah Menengah Harian Bandar. KPP Bahasa merupakan bekas guru sekolah tersebut dan salah seorang yang terlibat dalam JK Anugerah Sekolah Cemerlang sekolah tersebut. Manakala Kumpulan Mutu Kawalan Kerja (KMK) JPN Kelantan telah menerima Anugerah Ketua Setiausaha KPM sempena Hari Kualiti KPM 2008. Anugerah diberikan berdasarkan kepada pencapaian memenangi KMK Kategori Teknikal. Anugerah telah disampaikan oleh YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran.

Thursday 20 November 2008

Persidangan Bahasa Melayu Dalam Perspektif Globalisasi


18-20 Nov. Subang Jaya - Unit Bahasa JPN Kelantan telah menyertai satu Persidangan Bahasa Melayu dalam Perspektif Globalisasi yang melibatkan pembentang dan peserta dari seluruh dunia. Unit Bahasa JPN Kelantan diwakili oleh Mohd Hassany Hashim KPP Bahasa, Aziz Mohamad Guru Cemerlang dan Mohd Hazani Mahadi, Guru Munsyi Dewan. Sebanyak 30 kertas kerja berkaitan isu-isu bahasa secara global dibentang dan dibincangkan di dalam persidangan oleh pembentang dari seluruh dunia yang terdiri daripada tokoh-tokoh bahasa, penyelidik bahasa, pensyarah universiti dan pengamal bahasa. Satu resolusi bahasa hasil daripada persidangan tersebut telah diserahkan kepada YB Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang hadir untuk merasmikan majlis penutupan persidangan tersebut.

Friday 31 October 2008

Seminar Kehebatan Imej Diri 2008

28-30 Okt. Melaka - KPP Bahasa telah menghadiri Seminar Kehebatan Minda dan Imej Diri 2008 mewakili JPN Kelantan yang telah diadakan di Hotel Century Mahkota, Melaka. Seminar yang dianjurkan oleh SPACE UTM dikendalikan oleh Prof.Madya Wan Zulkifli Wan Yusoof, NLP Trainner, Datin Melor Wati Darus, Melor Consultant dan Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood, pendakwah bebas.

Thursday 23 October 2008

Ceramah Pengurusan Sistem Fail dan Headcount


25 Okt. Bachok - SMK Long Yunus,Bachok telah menjemput En.Mohd Hassany Hashim, KPP Bahasa JPN Kelantan untuk menyampaikan ceramah berhubung Pengurusan Sistem Fail dan Headcount kepada semua guru di dalam Kursus Perkembangan Staf. Ceramah yang bermula 8.30 pagi berakhir 10.30 pagi. Ceramah tersebut diberikan bertujuan untuk memantapkan lagi pengurusan sistem fail, dokumentasi dan pengurusan headcount.

Saturday 18 October 2008

Kursus Guru Penyelaras SBT Negeri Kelantan

19 Okt. Kota Bharu - Unit Bahasa, JPN Kelantan akan menganjurkan Kursus Guru Penyelaras SBT kepada guru-guru tahun 4, 5 dan 6. Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada guru tentang kaedah menggunakan Modul Pengajaran Tahun 4,5 dan 6. Untuk maklumat lanjut, guru-guru boleh hubungi PPD masing-masing.

Tuesday 14 October 2008

Seminar Pengurusan Ketua Panitia Bahasa Melayu

15 Okt. Kota Bharu - Unit Bahasa, JPN Kelantan telah menganjurkan Seminar Pengurusan Ketua Panitia kepada guru-guru Bahasa Melayu sekolah menengah seluruh negeri Kelantan. Seminar yang diadakan di PCB Resort, PCB telah dihadiri oleh 134 oran peserta yang terdiri daripada Ketua Panitia Bahasa Melayu. Seminar yang bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang bertujuan untuk memberi pendedahan tentang pengurusan dan perancangan tahun 2009 serta kaedah pedagogi BM yang terkini. Seminar telah dirasmikan oleh En.Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa, JPN Kelantan.

Monday 13 October 2008

Kursus Profesionalisme Guru Kanan Bahasa dan Ketua Panitia 2008

28 Ogos. Kota Bharu - Unit Bahasa, JPN Kelantan telah menganjurkan satu Kursus Profesionalisme Guru Kanan Bahasa dan Ketua Panitia Sekolah Menengah Negeri Kelantan pada 27 Ogos 2008. Kursus tersebut telah dijalankan di dua lokasi, iaitu dewan Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu kepada peserta dari PPD Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, dan Bachok. Manakala di dewan SMS Machang kepada peserta dari PPD Machang, Jeli, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang. Tujuan kursus tersebut dilaksanakan ialah untuk menyampaikan maklumat pengurusan panitia Bahasa Melayu, di samping mendedahkan kepada para peserta kaedah P&P yang terkini. Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa, JPN Kelantan.

Seminar Peningkatan Kecemerlangan BM SPM 2008


8 Okt. Kota Bharu - Unit Bahasa, JPN Kelantan telah menganjurkan Seminar Peningkatan Kecemerlangan Bahasa Melayu SPM 2008 peringkat Negeri Kelantan pada 8 dan 9 Oktober 2008. Seramai 150 pelajar Tingkatan 5 daripada 15 buah sekolah menengah seluruh negeri telah menyertai seminar tersebut. Seminar yang berlangsung di dewan SMK Dato' Ahmad Maher, Kota Bharu telah dirasmikan oleh YBrs.Hj.Mohd Adnan Mohd Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPN Kelantan. Seminar bertujuan untuk memberi pendedahan terkini berkaitan teknik menjawab soalan kertas 1 dan 2 Bahasa Melayu. Seminar tersebut dikendalikan oleh JK Panitia Bahasa JPN Kelantan yang terdiri daripada Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan guru yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam pengajaran Bahasa Melayu. Antara guru-guru yang terlibat menyampaikan ceramah dan mengendalikan bengkel ialah Aziz Mohamad, GC SMK Zainab 1, Mohd Hanafiah Noor, SMK Tendong, Mohd Nawi Abdullah, GKB SMK Dato'Ahmad Maher, Rohaida Abas, SMKA Naim Lil Banat, R.Kertiny Awang, SM Teknik Pengkalan Chepa, dan Mohamad Jaafar, SMK Jelawat. Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada peserta seminar telah disempurnakan oleh Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa, JPN Kelantan.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa