Thursday 31 December 2009

SELAMAT TAHUN BARU 2010

AkademikBahasa mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2010 kepada semua pengunjung blog AkademikBahasa. Semoga tahun 2010 membuka lembaran baharu yang lebih bermakna dan menarik untuk digapai khususnya ke arah Memartabatkan Bahasa Melayu. AkademikBahasa juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengunjung yang pernah mengunjungi laman blog ini sepanjang AkademikBahasa berwacana di laman maya. Setiap pandangan dan teguran daripada para pengunjung amat dihargai oleh AkademikBahasa, dan semoga para pengunjung tidak jemu untuk terus mengunjungi dan bersembang-maya di laman blog ini. Sebarang cadangan dan pandangan bagi menambahbaik lama blog AkademikBahasa untuk tahun 2010 amat-amat dialukan.

Thursday 17 December 2009

Kursus Program LINUS Guru Tahun 1 2010

Program Literasi dan Numerasi (LINUS) akan mula dilaksanakan mulai 2010 hingga 2012 di seluruh negara. Program LINUS yang bertujuan memastikan semua murid Tahun 1 pada 2010 dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis (literasi) dan mengira (numerasi) selepas tahun 2012, iaitu berada di Tahun 4. Pelaksanaan program LINUS ini merupakan sebahagian daripada NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia yang disasarkan menjelang tahun 2012. Sehubungan itu, semua guru Tahun 1 yang mengajar Bahasa Melayu dan Matematik diwajibkan mengikuti kursus pengajaran dan pembelajaran modul LINUS mulai tahun 2010. Kursus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru, KPM akan dilaksanakan di seluruh negara mengikut zon negeri masing-masing. Bagi guru-guru negeri Kelantan, kursus akan dilaksanakan mengikut PPD masing-masing sebagaimana tarikh dan tempat yang telah ditetapkan. Bagi semua guru Bahasa Melayu dan Matematik yang mengajar di tahun 1, jadual kursus boleh dirujuk sebagaimana lampiran Jadual Kursus berikut:

Monday 14 December 2009

Mesyuarat Penggubalan Rancangan Pengajaran Tahunan Bahasa Melayu

13 - 15 Dis 2009 - Unit Bahasa Melayu, JPN Kelantan telah mengadakan satu Mesyuarat Perbengkelan Penggubalan Rancangan Pelajaran Tahunan Bahasa Melayu untuk sekolah menengah dan sekolah rendah. Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan untuk menggubal dan menyediakan satu format RPT mata pelajaran Bahasa Melayu bagi diselaraskan di semua sekolah seluruh negeri.
Ahli mesyuarat terdiri daripada kalangan Guru Cemerlang dan Guru Sumber Bahasa Melayu peringkat daerah dan negeri. Fasilitator bengkel dikendalikan oleh Pn.Rohaida Abas, seorang Guru Cemerlang (DG52) dari SMKA Naim Lilbanat. Manakala ceramah RPT disampaikan oleh En.Azman Hj.Omar, Ketua Panitia Bahasa Melayu, Jemaah Nazir Jaminan Kualiti, Kelantan. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh En.Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu JPN Kelantan.
Hasil mesyuarat dan perbengkelan RPT akan disebarluaskan kepada semua sekolah seluruh negeri melalui PPD masing-masing di dalam bentuk CD untuk diperbanyakkan di peringkat PPD.

Thursday 26 November 2009

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA 1430H

UNIT BAHASA MELAYU JPN KELANTAN MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA 1430H KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT. SEMOGA AIDIL ADHA INI MENJADI PENCETUS KEPADA KITA SEMUA UNTUK TERUS MELAKUKAN PENGORBANAN YANG SUCI DAN MURNI DI DALAM SETIAP GERAK KERJA DAN HALA TUJU KITA SEBAGAI KHALIFAH ALLAH!
SALAM PENGORBANAN DARIPADA AKADEMIKBAHASA !

Saturday 21 November 2009

Tahniah & Syabas Sekolah BM 100%

Unit Bahasa JPN Kelantan merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan tahniah kepada 2 buah sekolah yang berjaya mencatat keputusan lulus 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Melayu Penulisan, iaitu:

SRA Tengku Amalin Aishah Puteri, Kota Bharu, dan SK Sungai Bagan, Machang

Manakala, sebanyak 15 buah sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, iaitu:
SK Bukit Tanah, SK Seri Wakaf Bharu, SK Zainab 2, SK Penggu, SK Perol, SK Raja Abdullah
SK Pulau Gajah, SK Beris Kubor Besar, SK Bendang Pauh, SK Chicha Tinggi, SK Baroh Pial, SK Bukit Gading, SK Chabang 3 Chetok, SK Bukit Awang, dan SK Pengkalan Kubor Salor

Sementara itu, SK Ladang Taku, Kuala Krai berjaya mencatat kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan.

Unit Bahasa JPN merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pentadbir, guru-guru Bahasa Melayu dan para pelajar UPSR 2009 yang telah memberikan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan keputusan tersebut. Teruskan usaha gigih anda semua !

Thursday 19 November 2009

Keputusan UPSR 2009, Pencapaian Cemerlang !

19 Nov 2009 : Keputusan UPSR 2009 peringkat negeri Kelantan telah diumumkan oleh YABrs Hj.Mohd Ghazali Abd.Rahman, Pengarah Pelajaran Kelantan di Bilik Mesyuarat JPN, jam 10.00 pagi. Keputusan keseluruhan UPSR 2009 amat membanggakan, kerana dalam tempoh 6 tahun ini merupakan pencapaian yang terbaik Kelantan dengan seramai 25,369 calon atau 69.03 peratus mencapai kelulusan am, meningkat 2.25 peratus (seramai 529 calon) berbanding 2008. Manakala kecemerlangan calon semua A (5A & 7A) menunjukkan peningkatan ketara iaitu seramai 5,259 calon atau 14.31 peratus, dengan peningkatan 2.90 peratus atau 1,015 calon. Gred Purata Negeri juga meningkat iaitu 2.25 berbanding 2.32 pada 2008. Gred Purata Negeri juga berjaya mengatasi Gred Purata Kebangsaan. Sementara itu, pencapaian bagi Bahasa Melayu Pemahaman sebanyak 91.28 peratus dengan seramai 32,532 calon lulus, dan seramai 16,005 calon atau 44.91 peratus memperoleh gred A, manakala Bahasa Melayu Penulisan pula seramai 28,919 calon lulus dengan peratus 81.15, dan seramai 18,450 calon (51.77 %) memperoleh gred A. Namun demikian, pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu mengalami sedikit penurunan berbanding tahun 2008. Ini sudah tentu memerlukan daya usaha dan kesungguhan semua pihak bagi memastikan mata pelajaran Bahasa Melayu dapat dipertingkatkan pencapaiannya pada tahun 2010 selaras dengan dasar MBM.

Sunday 15 November 2009

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM 2009

Unit Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan ingin mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2009 kepada semua calon SPM 2009. Semoga para pelajar sekalian dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan penuh keiltizaman untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Pesanan kepada semua calon, berikanlah tumpuan yang sepenuhnya dan sentiasa berdoa untuk memberi yang terbaik sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung. Kami sentiasa mendoakan kejayaan anda semua !

Wednesday 11 November 2009

Mesyuarat Pemurnian dan Cuba Uji Modul Literasi Bahasa Melayu (Program LINUS)

10 - 11 Nov : Satu Mesyuarat Pemurnian dan Cuba Uji Modul Literasi Bahasa Melayu Tahun 1 untuk Program LINUS 2010 telah berlangsung di Permai Inn, Terengganu. Seramai 30 orang guru Bahasa Melayu tahun 1 dari beberapa buah sekolah negeri Kelantan terpilih mengikuti mesyuarat berkenaan dan terlibat di dalam cuba uji modul tersebut. Modul berkenaan yang telah dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM dengan kerjasama Jurulatih Utama Bahasa Melayu peringkat negeri dijangka akan digunakan untuk melatih guru-guru Bahasa Melayu tahun 1 seluruh negara bermula Disember 2009 hingga Februari 2010. Melalui mesyuarat tersebut, modul berkenaan telah dimurnikan dan dicubauji di kalangan guru-guru Bahasa Melayu yang terlibat. Unit Bahasa Melayu, JPN Kelantan turut diwakili oleh KPP Bahasa Melayu, En.Mohd Hassany Hashim sebagai pemerhati di dalam mesyuarat dan proses cubauji modul berkenaan.

Thursday 5 November 2009

Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau 1

3 - 5 Nov 2009 - satu Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau 1 telah dianjurkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru, KPM. Konvensyen tersebut berlansung di Klana Resort, Seremban yang telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Hj.Alimuddin Hj.Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Melalui konvensyen berkenaan, sebanyak 35 kertas kerja berkaitan kaedah pedagogi Bahasa Melayu serantau telah dibentangkan. Pembentang kertas kerja terdiri daripada tokoh-tokoh bahasa, pensyarah IPTA tempatan dan luar negara, dan pengkaji bahasa. Negara serantau yang terlibat di dalam konvensyen tersebut antaranya dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Australia.
Unit Bahsa JPN Kelantan turut menghantar wakil peserta yang terdiri daripada seorang pegawai bahasa JPN dan enam orang Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Wakil peserta dijangka akan membentangkan hasil konvensyen tersebut kepada guru-guru Bahasa Melayu negeri Kelantan di dalam satu seminar yang akan diadakan tahun 2010. Ini bertujuan untuk menyebarluaskan ilmu dan kemahiran yang diperolehi demi memartabatkan Bahasa Melayu dan mempertingkatkan pedagogi guru Bahasa Melayu negeri.

Wednesday 28 October 2009

Program Memartabat Bahasa Melayu - Bengkel Majalah Dalam Kelas 2009

26 & 27 Okt 2009 - Unit Bahasa JPN Kelantan telah berjaya menganjurkan Program Memartabatkan Bahasa Melayu melalui Bengkel Majalah Dalam Kelas (MDK) 2009. Program ini merupakan anjuran bersama Unit Bahasa JPN Kelantan, DBP Kuala Lumpur dan DAWAMA Sdn. Bengkel MDK ini telah berlangsung di BTPN Kelantan dengan dihadiri seramai 135 guru Bahasa Melayu sekolah menengah dan 100 orang guru sekolah rendah seluruh Kelantan. Bengkel MDK ini telah dikendalikan sendiri oleh pengasas Majalah Dalam Kelas iaitu Tn.Hj.Azizul Rahman Abd.Rahman, Guru Cemerlang Jusa C dari SMK Dato' Syed Sulaiman, Batu Pahat Johor. Menurut En.Mohd Hassany Hashim, KPP Bahasa Melayu JPN, sewaktu menyampaikan ucapan penutup, program ini telah berjaya melatih guru-guru Bahasa Melayu untuk melaksanakan pengajaran yang lebih berkesan melalui konsep penggunaan Majalah Dalam Kelas. Ini selaras dengan hasrat JPN dan KPM ke arah mentranformasikan kurikulum pendidikan menjadi lebih kreatif dan inovatif. Sementara itu, menurut seorang peserta bengkel Cikgu Ramali, dari SK Bahagia Kuala Krai, bengkel ini amat bermakna dan berkesan serta diharapkan dapat diteruskan pada tahun hadapan.

Pelancaran Perhimpunan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat JPN Kelantan

25 Oktober 2009 - Unit Bahasa JPN Kelantan dengan kerjasama SMK Dato' Biji Wangsa, Tumpat telah mengadakan majlis pelancaran perhimpunan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 peringkat jabatan. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB Tn.Hj.Mohd Ghazali Abd.Rahman, Pengarah Pelajaran Kelantan. Majlis pelancaran BBK 2009 peringkat JPN yang berlangsung di Dewan SMK Dato' Biji Wangsa turut dihadiri oleh Hj.Mohd Adnan Mohd Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, En.Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa, En.Zakaria Awang Chik, Pegawai Pelajaran Daerah Tumpat dan Hjh.Fauziah Hj.Abd.Rahman, Pengetua SMK Dato' Biji Wangsa. Pengarah Pelajaran Kelantan dalam ucapan pelancaran BBK 2009, meminta semua pihak mengambil tanggungjawab bersama dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menurut beliau, pengamalan yang berterusan terhadap Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi dapat memperkasakan kembali kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama negara. Tambah beliau lagi, JPN Kelantan akan terus berusaha merencanakan program memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui aktiviti dan program di bawah Unit Bahasa. Selain ucapan perasmian pelancaran BBK 2009, majlis turut disulami dengan pembacaan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia serta persembahan daripada pelajar SMK Dato' Biji Wangsa.

Saturday 24 October 2009

Seminar Kecemerlangan Bahasa Melayu SPM 2009

20 Okt 2009 - Unit Bahasa JPN Kelantan sekali lagi mengadakan Seminar Kecemerlangan Bahasa Melayu SPM 2009. Seminar ini merupakan siri ke-2 selepas berjaya diadakan pada tahun 2008. Seminar kali ini berlangsung di Dewan SMK Putera, Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab Kota Bharu. Penyertaan seminar kali ini amat memberangsangkan dengan 250 pelajar Tingkatan 5 terlibat. Pelajar telah didedahkan dengan pelbagai maklumat terkini kaedah menjawab soalan Bahasa Melayu bagi kedua kertas BM1 dan BM2. Penceramah terdiri daripada guru-guru yang berpengalaman dan berkelayakan. Penceramah untuk BM 1 disampaikan oleh En.Sazali Ibrahim, Pen.Kanan HEM SMK Laloh. Manakala BM 2 disampaikan oleh Pn.Faizah Mohd Noor, Guru Cemerlang SM Teknik Bachok. Sementara itu, fasilitator terdiri daripada Pn.Rohaida Abas, Guru Cemerlang SMKA Naim Lil Banat, Pn.R.Kertiny Awang, Guru Cemerlang SM Teknik Pengkalan Chepa, En. Aziz Mohd Nor, Guru Cemerlang SMK Kedai Buloh, dan Pn.Sharifah Inom, SMK Raja Sakti. Majlis penutup telah dihadiri oleh En.Mohd Hassany Hashim, KPP Bahasa JPN Kelantan.

Tuesday 20 October 2009

Teks Perutusan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 oleh YAB Menteri Pelajaran

Para pengunjung boleh mendapatkan teks perutusan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia yang disampaikan pada 6 Oktober 2009, di Kuching Sarawak.

http://docs.google.com/Doc?docid=0AcuaEQo15Ll8ZGQ2eHhxdzVfODRkODh6cnhjNw&hl=en

Saturday 17 October 2009

Mesyuarat Sektor Pengurusan Akademik JPN & PPD kali ke-3/2009

Mesyuarat Pengurusan Akademik, Sektor Pengurusan Akademik JPN telah diadakan pada 16 hingga 18 Oktober 2009, bertempat di Hotel YT Midtown, Terengganu. Mesyuarat telah dirasmikan oleh YBrs Hj.Mohd Adnan Mohd Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPN Kelantan. Mesyuarat telah dihadiri oleh semua pegawai akademik di JPN dan PPD seluruh negeri. Agenda mesyuarat membincangkan beberapa perkara berikut:

1. Mengesah Minit Mesyuarat kali ke-2/2009
2. Perancangan program dan aktiviti akademik tahun 2010.
3. Memperkasakan 'nafsu' kerja pegawai akademik JPN dan PPD.

Unit Bahasa Melayu JPN telah diwakili oleh En.Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa yang telah membentangkan perancangan aktiviti Unit Bahasa untuk tahun 2010 bagi menjayakan agenda dasar MBMMBI ( Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris ).

Sunday 11 October 2009

Kursus Profesionalisme Guru Kanan Bahasa JPN Kelantan

12 Oktober 2009 - Kursus Profesionalisme Guru Kanan Bahasa telah diadakan di Hotel Grand Continental, Kuantan. Kursus dianjurkan oleh Uint Sekolah Menengah JPN Kelantan. En.Mohd Hassany Hashim, selaku Ketua Penolong Pengarah Bahasa, JPN telah dijemput membentangkan satu kertas kerja bertajuk Pengurusan Berkesan Bahasa Melayu. Fokus pembentangan bertumpukan kepada aspek pengurusan panitia Bahasa Melayu di sekolah, kaedah pengajaran-pembelajaran berkesan, dan pelaksanaan dasar MBMMBI. Bahan pembentangan boleh diperolehi di sudut Ilmu Pengurusan di laman blog ini.

Wednesday 7 October 2009

Selamat Menduduki Penilaian Menengah Rendah kepada semua pelajar Tingkatan 3

Unit Bahasa Melayu JPN Kelantan mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan PMR kepada semua pelajar Tingkatan 3. Hari ini merupakan kertas Bahasa Melayu.emoga para pelajar dapat menjawabnya dengan tenang dan penuh keyakinan. Usaha+Doa+Tawakal - Semoga Berjaya !

Tuesday 6 October 2009

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Shared via AddThis

Dasar martabat BM, perkukuh BI

KUCHING 6 Okt. - Rangka pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) kini hampir siap, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan akan mengumumkan dasar tersebut tidak lama lagi bertujuan mengukuhkan penguasaan kedua-dua bahasa itu.
''Kita berharap dengan usaha baru ini (MBMMBI), maka sistem pendidikan kebangsaan akan menjadi lebih menarik dan lebih kukuh. Ia juga berupaya untuk meningkatkan penguasaan dalam semua ilmu tidak terkecuali untuk kita mempertingkatkan kecekapan dalam bahasa Inggeris di samping mengukuhkan dan memartabatkan bahasa Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini hari ini. Menurut Muhyiddin, dasar MBMMBI seiring dengan matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menjadikan usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebagai teras pertama program membina negara bangsa.
Pada satu soalan mengenai usaha menarik semua kaum menghantar anak ke sekolah kebangsaan (SK), beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan adalah mengutamakan sekolah tersebut. Bagaimanapun, jelasnya, sekolah jenis kebangsaan (SJK) tidak dipinggirkan kerana ia terbentuk hasil toleransi semua kaum.
''Apa pun sistem kebangsaan kita adalah sekolah yang menggunakan bahasa pengantarnya bahasa Malaysia. Jadi, kita telah melaksanakan beberapa dasar pelajaran kebangsaan dan dasar bahasa kebangsaan kita," ujarnya.
Petikan daripada Berita Harian (7/10/2009)

Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) KPM dan KPI Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

YAB Perdana Menteri telah mengumumkan fokus Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi kerajaan apabila beliau mula memegang tampuk pimpinan negara. NKRA tersebut turut merangkumi bidang pendidikan negara yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia. Bidang keutamaan yang dikenalpasti yang diberi keutamaan oleh negara ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Di bawah NKRA KPM tersebut difokuskan kepada 4 sub-NKRA iaitu:
1. Prasekolah - dimana peningkatan 20% penyertaan kanak-kanak 5 tahun ke atas ke pendidikan prasekolah dengan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai aliran perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan pada tahun 2012.
2. Literasi dan Numerasi - di mana semua kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah pembelajaran boleh menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum melangkah ke tahun 4 pada tahun 2012.
3. Sekolah Berprestasi Tinggi - di mana usaha KPM membangunkan 100 buah ' high performance schools ' termasuk 'trust schools' pada akhir tahun 2012.
4. Pengetua/Guru Besar - di mana bai'ah atau akujanji kepada Pengetua/Guru Besar berdasarkan 'performance based assessment' mulai tahun 2010.
Key Performance Indicator (KPI) atau Bidang Pengukuran Prestasi bagi KPPM telah ditetapkan berdasarkan kepada beberapa kpi :
1. Nisbah Guru:Murid mengikut sasaran tahun semasa ( Sekolah Menengah 1:17, Sekolah Rendah 1:16)
2. Penurunan kes disiplin sekolah sebanyak 0.02% setahun bagi semua jenis sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara.
3. Peratus peningkatan sebanyak 1.0 % setahun bagi kadar pencapaian murid dalam Kelas Intervensi Awal (KIA2M).
4. Pencapaian pelajar berdasarkan Gred Purata Nasional pada peringkat UPSR (GPN=3.00), PMR (GPN=3.50), dan SPM (GPN = 6.00).
5. Peningkatan 2 % Guru Ijazah Terlatih di sekolah rendah dan 1 % di sekolah menengah.
6. Penurunan peratus jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar (UPSR - 0.3%, PMR - 0.3%, dan SPM - 0.2%)

Monday 28 September 2009

Usaha "Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris" MBMMBI

Berikut merupakan usaha KPM dalam memperkasa dan memartabatkan kembali kedudukan Bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan negara. Di samping itu, KPM tidak melupakan terus langkah mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pendekatan penuh diplomasi dan terancang ini harus dilihat sebagai usaha proaktif dan langkah terbaik bagi menangani isu yang pernah menimbulkan kontroversi dan polemik hangat tidak lama dahulu. Kita perlu memahami dan berusaha menghayati secara ilmiah pendekatan yang diambil, yang dianggap tidak terlalu 'gopoh' dan penuh harmoni.

Friday 25 September 2009

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009


Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 akan mula disambut dan diraikan selepas Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 dijangka diadakan pada 2 Oktober 2009, di Kuching, Sarawak. YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dijangka akan merasmikan majlis pelancaran BBK 2009 berkenaan. Unit Bahasa JPN Kelantan turut serta dalam memastikan sambutan BBK 2009 disemarakkan di Kelantan melalui beberapa agenda dan aktiviti berkaitan kebahasaan dilaksanakan di seluruh negeri. Aktiviti berkenaan akan digerakkan secara bersama dengan DBP Wilayah Timur dan Pejabat SUK Keantan, selaku Pengerusi Sambutan BBK 2009 peringkat negeri. Antara aktiviti yang akan dilaksanakan ialah:

1. Majlis Pelancaran BBK 2009 Peringkat Negeri Kelantan - 6 Oktober 2009 di Pusat Perdagangan Kelantan.

2. Perhimpunan BBK 2009 di seluruh sekolah negeri Kelantan bermula 3 - 30 Oktober 2009.

"Bersama-sama Memartabatkan Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan"

Download lagu " BAHASA JIWA BANGSA "


http://www.ziddu.com/viewfile/6821133/bahasajiwabangsa.wma.html

Tuesday 15 September 2009

Mesyuarat Key Performance Indicator KPPM

Unit Bahasa Melayu, JPN telah dijemput menghadiri satu mesyuarat untuk membincang dan memurnikan penetapan KPI KPPM berhubung dengan pencapaian penguasaan 2M (Menulis & Membaca) bersama-sama Bahagian Pendidikan Khas, KPM. Mesyuarat tersebut diadakan di Kapas ISland Resort, Terengganu pada 14 September 2009. Semua Pegawai Bahasa JPN telah menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Bahagian Pendidikan Khas, KPM. Antara lain mesyuarat memutuskan untuk melaksanakan penetapan KPI KPPM ke arah meningkatkan penguasaan 2M di kalangan murid-murid sekolah sekurang-kurangnya 1.0% setahun. Pegawai Bahasa Melayu JPN telah diminta melaksanakan program dan aktviti bagi mencapai matlamat berkenaan.

Sunday 13 September 2009

Mesyuarat Penyelarasan Latihan Literasi & Numerasi BPK KPM

Unit Bahasa JPN telah dijemput menghadiri satu Mesyuarat Penyelarasan Latihan Literasi & Numerasi oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM yang berlangsung pada 15 - 16 September 2009 bertempat di Hotel Prescot, Kajang. Mesyuarat berkenaan bertujuan untuk membincangkan kaedah latihan yang akan diberikan kepada guru-guru Bahasa Melayu bagi melaksanakan kaedah pengajaran & pembelajaran literasi yang lebih berkesan pada tahun 2010. Mesyuarat tersebut sebahagian daripada perancangan KPM ke arah memantapkan dasar MBM (Memperkasakan Bahasa Melayu) dan mencapai KPI mengikut NKRA kementerian yang telah ditetapkan. Konsep LINU ini dijangka akan menggantikan pelaksanaan KIA2M dan Protim sebelum ini mulai 2011.

Wednesday 9 September 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR 2009

Unit Bahasa Melayu JPN Kelantan mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR 2009 kepada semua murid tahun 6 yang menduduki peperiksaan mulai 8 - 10/9/2009. Semoga semua calon UPSR dapat menjawab soalan dengan baik dan berkesan. Semoga Berjaya !

Tuesday 1 September 2009

Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Bahasa Melayu BPG-JPN 2010

2/9/2009 - Satu Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Bahasa Melayu antara Bahagian Pendidikan Guru dengan Ketua-Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu JPN seluruh negara telah diadakan pada 2/9/2009 bertempat di Bilik Mesyuarat KDP, Kem.Pelajaran Malaysia. Mesyuarat yang pertama kali diadakan antara BPG - JPN bertujuan untuk menyelaras program dan aktiviti Bahasa Melayu peringkat negeri untuk 2010 ke arah melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM). Mesyuarat yang dipengerusikan oleh En.Romainor Ali, Pegawai Matematik BPG telah dihadiri oleh semua KPP Bahasa Melayu JPN seluruh negara. Keputusan mesyuarat banyak memfokuskan perancangan dan pelaksanaan program Bahasa Melayu untuk tahun 2010 dengan memberi penekanan kepada 4 perkara utama, iaitu:

i. Memperkukuhkan penguasaan Tatabahasa di kalangan guru-guru Bahasa Melayu.
ii. Memantapkan pedagogi berkesan guru-guru Bahasa Melayu.
iii. Menyuburkan seni warisan bangsa dan kesusasteraan Melayu di dalam pengajaran Bahasa Melayu.
iv. Meningkatkan penguasaan asas Menulis dan Membaca di kalangan pelajar sekolah.

Perancangan ini bersesuaian dengan matlamat kerajaan dalam mencapai sasaran NKRA dan NKPI khususnya bagi sektor pendidikan negara.

Monday 31 August 2009

Selamat Menyambut Ulangtahun KEMERDEKAAN KE 52

31 Ogos 2009 - MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA.

Alhamdullilah hari ini kita menyambut ulangtahun KEMERDEKAAN sebuah negara kecil yang berjiwa besar. Sesudah 446 tahun kita pernah terpasung dalam era penjajahan, hari ini selepas 52 tahun kita kembali meraih nilai kebebasan dan kedaulatan NEGARA MERDEKA. Namun apakah kita benar-benar MERDEKA dalam perjuangan BAHASA KITA? Kita harus mensyukuri nikmat KEMERDEKAAN yang telah dianugerahi ALLAH swt. Terima kasih kepada pejuang-pejuang bangsa dan semoga roh kalian ditempatkan oleh Allah swt bersama-sama para syuhada.

Sunday 23 August 2009

Mesyuarat Penyelarasan Bidang Bahasa KPM-JPN 2009

17 - 20 Ogos 2009: Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Bidang Bahasa dan Kesusasteraan BPK dengan Pegawai Bahasa JPN/PPD telah diadakan pada 17 - 20 Ogos 2009, bertempat di Holiday Villa, Subang Jaya Selangor. JPN Kelantan telah menghantar seramai 3 orang pegawai Unit Bahasa dan 10 orang pegawai Bahasa PPD. Unit Bahasa Melayu diwakili oleh Mohd Hassany Hashim, KPP Bahasa. Mesyuarat telah dirasmikan oleh Hj.Ali Abd.Ghani, Pengarah BPK Kementerian Pelajaran Malaysia. Mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan berkaitan hala tuju dan masa depan Bahasa Melayu selepas pemansuhan PPSMI yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Gerak kerja dan aktiviti Bahasa Melayu kini berlandaskan ketetapan KPM berdasarkan konsep 'Memartabatkan Bahasa Melayu, Mempertingkatkan Bahasa Inggeris' (MBMMBI). Usaha ini dilihat satu langkah yang bijak dan berani selaras dengan kehendak masyarakat supaya Bahasa Melayu dimartabatkan semula di dalam sistem pendidikan negara. Antara agenda pendidikan masa depan yang berkaitan dengan bidang bahasa dan kesusasteraan ialah:
1. Transformasi Kurikulum Kebangsaan 2011
2. Memartabatkan Bahasa Melayu
3. Literasi 2M (Menulis dan Membaca)
4. Sastera Kontemporari Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah

Saturday 15 August 2009

1Bahasa: Murid Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI sememangnya memberi impak yang cukup besar kepada usaha memartabatkan kembali Bahasa Melayu sebagai 1Bahasa yang dapat menyatukan semua kaum di negara ini. Mengembalikan PPSM (tanpa I) ke dalam Bahasa Melayu merupakan langkah yang amat tepat dan sesuai pada masa dan situasi semasa. Sesudah Bahasa Melayu 'diperlekeh' sekian lama, kini usaha memartabat dan mengangkatnya kembali ke tampuk yang sebenarnya harus digemblengkan oleh semua rakyat yang cintakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Negara (Perkara 152). Sesungguhnya Bahasa itu Jiwa, Bahasa itu Roh, Bahasa itu Semangat, kerana Bahasa Jiwa Bangsa. Ayuh! semua rakyat, kita bersatu di bawah lambang " 1Malaysia, 1Bahasa, Bahasa Melayu Didahulukan! "

Sunday 15 March 2009

Seminar Pendidikan Ketua Panitia Bahasa Melayu

Unit Bahasa JPN Kelantan telah menganjurkan satu Seminar Pendidikan Ketua Panitia Bahasa Melayu kepada semua guru ketua panitia Bahasa Melayu seluruh Kelantan. Seminar telah berlansung selama sehari bertempat di PCB Resort. Seramai 138 orang guru ketua panitia Bahasa Melayu telah hadir ke seminar tersebut. Agenda seminar ialah pendedahan pengurusan panitia yabg berkesan, teknik pengajaran&pembelajaran berbantukan multimedia dan pameran buku-buku rujukan Bahasa Melayu. Seminar Pendidikan tersebut telah dirasmikan oleh En.Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa, Jabatan Pelajaran Kelantan.

Monday 9 February 2009

Pemantauan e-Cakna ke SK Hendrop Gua Musang

8 Feb 2009, Gua Musang - KPP Bahasa Melayu bersama Hj.Ramli Dollah, Pen.Pengarah Teknik Vokasional JPN telah melaksanakan pemantauan e-Cakna ke SK Hendrop, Gua Musang yang terletak kira-kira 68km daripada bandar Gua Musang. Pemantauan e-Cakna ke sekolah orang asli berkenaan bertujuan untuk meninjau aspek pengurusan kurikulum dan pelaksanaan proses pengajaran-pembelajaran di dalam kalangan murid orang asli. Kehadiran kami disambut oleh Guru Besar, Mohamad Che Amat dan PK, Ibrahim Mat. SK Hendrop mempunyai murid seramai 246 orang terdiri daripada murid tahun 1 hingga tahun 6. Kemudahan prasarana dan fizikal sekolah amatlah terhad yang menyebabkan pelaksanaan P&P banyak terganggu.

Tuesday 20 January 2009

Siri Taklimat Pengurusan Panitia Bahasa Melayu 2009

Unit Bahasa Melayu, JPN Kelantan mengadakan siri Taklimat Khas Pengurusan Panitia kepada Ketua Panitia Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Menengah seluruh negeri Kelantan. Siri taklimat ini diadakan mengikut PPD masing-masing sebagaimana tarikh berikut:

12 - 14/1/2009 - PPD Kota Bharu
15/1/2009 - PPD Bachok
19/1/2009 - PPD Pasir Mas
21/1/2009 - PPD Tumpat
1/2/2009 - PPD Pasir Puteh
2/2/2009 - PPD Tanah Merah
8/9/2009 - PPD Gua Musang
9/2/2009 - PPD Kuala Krai
10/2/2009 - PPD Jeli

Taklimat ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat berhubung pengurusan panitia mata pelajaran bagi memastikan proses P&P berjalan lancar dan matlamat meningkatkan pencapaian cemerlang mata pelajaran Bahasa Melayu 2009 berhasil. Antara isi kandungan taklimat merangkumi:
1. Usaha memperkasakan peranan Ketua Panitia Bahasa Melayu di sekolah.
2. Pengurusan Fail Panitia secara berkesan.
3. Isu P&P berkesan di bilik darjah.
4. Penulisan karangan berfokus.
5. Pemantauan Berfokus Akademik (e-Cakna) Bahasa Melayu.
6. Program khas Bahasa Melayu KPM

Pengurusan teknikal siri taklimat ini telah diurus selia oleh Pegawai Unit Bahasa PPD yang terlibat.

Thursday 1 January 2009

SELAMAT TAHUN BAHARU AWAL MUHARAM 1430H & 2009 MASIHI

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT TAHUN BAHARU 1430H & 2009M kepada semua pelawat AkademikBahasa. Semoga tahun baharu ini memberikan ruang kepada kita semua untuk terus memperkasa dan memartabatkan BAHASA MELAYU sebagai bahasa terulung di tanah air tercinta ini....

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa