Saturday, 9 January 2010

Agenda Pendidikan Pengarah Pelajaran Kelantan untuk 2010

Yang Amat Berusaha Tn.Hj. Mohd Ghazali bin Abd.Rahman, Pengarah Pelajaran Kelantan sewaktu membentangkan agenda pendidikan negeri bagi tahun 2010 telah menggariskan 6 fokus utama yang akan menjadi hala tuju kepada warga kerja Jabatan Pelajaran Kelantan di dalam memastikan kecemerlangan pendidikan Kelantan terus dijulang. 6 fokus tersebut ialah :
1. Menggerakkan 3M (Menulis, Membaca, Mengira) melalui Program LINUS - dimana 2 sektor utama yang ditugaskan menerajui program tersebut ialah Sektor Pendidikan Khas dan Swasta, dan Sektor Pengurusan Akademik;
2. Orientasi Kepimpinan Pengetua dan Guru Besar - dimana Sektor Jaminan Kualiti dipertanggungjawabkan menerajui fokus tersebut;
3. Latihan Kepimpinan dan Pengurusan kepada Pegawai di JPN/PPD - dimana Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan diberi amanah;
4. Memperkasakan pedagogi Pengajaran & Pembelajaran guru di bilik darjah - fokus ini diberikan kepada Sektor Pengurusan Akademik untuk memastikan matlamat P&P dicapai;
5. Kecemerlangan Peperiksaan Awam utama, iaitu
i. UPSR - Sektor Pengurusan Sekolah (Pengawai Penyelaras - En.Mohd Hassany Hashim)
ii. PMR - Sektor Jaminan Kualiti (Pegawai Penyelaras - En.Mohd Nasir Mohd Noor)
iii. SPM - Sektor Penilaian dan Peperiksaan (Pegawai Penyelaras - Hj.Hilmi Abdullah)
iv. STPM - Sektor Pengurusan Akademik (Pegawai Penyelaras - Hjh.Wan Shuraya Ariffin)
6. Pemantapan Disiplin Pelajar - diterajui oleh Sektor Pembangunan Kemanusiaan.

Selain itu, YAB Tuan Pengarah Pelajaran Kelantan juga telah membentuk 4 Jawatankuasa Bertindak Memperkasakan 4 kategori sekolah, iaitu :
1. Jawatankuasa Memperkasakan Sekolah Orang Asli
2. Jawatankuasa Memperkasakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina/Tamil
3. Jawatankuasa Memperkasakan Sekolah Rancangan Khas/Kelas Rancangan Khas
4. Jawatankuasa Memperkasakan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Semoga dengan 6 fokus utama dan pembentukan jawatankuasa berkenaan dapat mengangkat kecemerlangan pendidikan Kelantan pada tahun 2010 ke arah yang lebih gemilang, selaras dengan visi "Cakna Pendidikan Kelantan Tersohor 2010".

No comments:

Post a comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa