AkademikBahasa, Unit Bahasa Melayu, Sektor Pengurusan Akademik
Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Thursday, 28 January 2010

PM melancarkan Program Transformasi Kerajaan

28 Januari 2010 - YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan secara rasminya PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN - Pelan Hala Tuju. Program ini merupakan satu pelan yang meletakkan gagasan besar kerajaan dalam mencapai status negara maju 2020 selaras Wawasan 2020 yang telah dicetuskan oleh YBhg. Tun Dr.Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri ke-4.
Pelancaran Program Transformasi Kerajaan ini merupakan agenda besar kerajaan dengan penuh rasa ketanggungjawaban dan keikhlasan yang tinggi kerajaan terhadap nasib dan masa depan rakyat menjelang 2020. Menurut YAB Perdana Menteri sewaktu merasmikan program tersebut:
"Sebagai kerajaan yang telus dengan berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban kita tidak akan berhenti daripada melakukan perubahan ini selagi rakyat tidak merasai, menyentuh dan mengalaminya sendiri".
"Namun usaha ini sudah pasti akan dinilai oleh rakyat sama ada kita benar-benar menunaikan janji atau sebaliknya. Ada risikonya dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita redha ditentukan oleh rakyat apabila tiba masanya".

Program Transformasi Kerajaan ini turut merangkumi 6 NKRA utama kerajaan yang perlu dicapai dalam memenuhi aspirasi kerajaan membela nasib rakyat Malaysia selaras konsep 1Malaysia. Salah satu daripada 6 NKRA tersebut turut melibatkan bidang pendidikan negara iaitu "Meluaskan akses pendidikan yang berkualiti".

Program Transformasi Kerajaan - Bidang Pendidikan (ututsan online)


0 comments:

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan: KEPADA PENDIDIK

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa

"Magical Template" designed by Blogger Buster