Friday 9 July 2010

Pendidikan: Kurikulum Baharu Tahun Depan

DALAM tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh, (RMK-10) kurikulum baharu untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan.

Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah tahun depan diikuti dengan kurikulum baharu untuk sekolah menengah.

Kurikulum berbentuk modular itu akan memberi peluang kepada semua pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Ia juga memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang boleh menyerlahkan potensi mereka.

Kurikulum itu akan menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran.
Berita selanjut boleh didapati melalui Utusan Malaysia Online (9/7/2010)

Tuesday 6 July 2010

PROGRAM LINUS - PENGISIAN DATA SARINGAN 2

Semua Guru Besar perlu memastikan bahawa pengisian data bagi Saringan ke-2 Program LINUS melalui portal rasmi LINUS-NKRA bermula 12 hingga 23 Julai 2010. Guru Besar diminta memastikan data yang diisi oleh guru-guru penyelaras LINUS untuk Bahasa Melayu dan Matematik diisi dengan betul dan tepat. Kegagalan mengisi data Saringan 2 LINUS sudah pasti menjejaskan proses rumusan keseluruhan Saringan Progran LINUS. Salinan perlu dibuat setelah pengisian data Saringa ke-2 dilaksanakan sebagai bukti dokumentasi Program LINUS. Pengisian data Saringan 2 LINUS boleh dilakukan melalui laman sesawangan NKRA-LINUS Kementerian Pelajaran Malaysia: www.moe.gov.my/nkra

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa