Sunday 28 March 2010

Bidang Keberhasilan Utama Guru (T-KRA: Teacher Key Result Area)

Dalam memastikan agenda pendidikan negara tercapai, khususnya Bidang Keberhasilan Uama Kementerian (M-KRA : Ministry Key Result Area), guru juga sewajarnya perlu mempunyai dan melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama seorang Guru (Teacher-Key Result Area: T-KRA). T-KRA ini penting sebagai satu garis panduan untuk guru mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagaimana yang diwar-warkan oleh kerajaan masa kini.
Adalah dicadangkan guru-guru memahami, menghayati dan melaksanakan T-KRA bagi memastikan KPI sebagai seorang guru yang berkesan tercapai dan matlamat agenda pendidikan negara dapat direalisasikan. Lima (5) Bidang Keberhasilan Utama seorang guru ialah:
1. Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pelajaran Tahunan
2. Kandungan mata pelajaran yang diajar
3. Buku Rekod Mengajar
4. Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)/Pedagogi Guru
5. Profesionalisme Profesion Keguruan
Dengan memahami, menghayati dan melaksanakan lima (5) T-KRA yang dinyatakan itu, pasti memudahkan peranan guru dalam melaksanakan tugas dan tangggungjawab yang diamanahkan. Di samping itu, bagi memastikan ke-lima-lima T-KRA tersebut difahami dan dihayati, setiap T-KRA berkenaan perlu mempunyai Indeks Prestasi Petunjuk (KPI) yang ingin dicapai oleh seseorang guru. KPI bagi seorang guru ialah:
1. Sukatan Pelajaran perlu ditamatkan mengikut tempoh yang ditetapkan (berdasar SPI)
2. Penguasaan 100% guru terhadap kandungan mata pelajaran utamanya
3. Buku Rekod Mengajar perlu diselenggara dan dikemaskini (berdasar SPI Bil3/1999)
4. Pelajar seronok mengikuti proses P&P guru (Pedagogi berkesan)
5. Pencapaian pelajar dapat diterjemahkan sebagaimana yang disasarkan guru.
Adalah diharapkan guru-guru akan senantiasa berusaha dengan penuh dedikasi untuk memenuhi tuntutan pelaksanaan T-KRA ini agar KPI yang perlu dicapai mampu memberi impak yang besar kepada masa depan para pelajar dan memenuhi aspirasi pendidikan negara.
" Murid Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Guru Dihargai "

Tuesday 23 March 2010

Jadual Peralihan PPSMI ke MBMMBI 2011




Dasar Memartabat Bahasa Melayu (MBM): Masa Bahasa Melayu ditambah

Dalam usaha Kementerian Pelajaran Malaysia mengangkat kembali Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara, peruntukan masa untuk pengajaran Bahasa Melayu akan ditambah mulai tahun 2011, apabila dasar MBMMBI dilaksanakan sepenuhnya. Pertambahan masa Bahasa Melayu daripada 270 minit kepada 330 minit di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina/Tamil, manakala untuk Sekolah Kebangsaan dikekalkan kepada 270 minit, menunjukkan komitmen KPM dalam memartabatkan kembali Bahasa Melayu di sekolah. Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, inisiatif berkenaan diambil sebagai usaha melaksanakan MBMMBI yang menggantikan PPSMI mulai 2011. Namun begitu, dengan pertambahan masa tersebut tidak akan memanjangkan waktu persekolahan semasa kerana ia hanya melibatkan pengubahsuaian peringkat dalaman sahaja.

Friday 12 March 2010

SPM 2009 - PENCAPAIAN BAHASA MELAYU MENINGKAT

Tahniah! Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2009 yang diumumkan pada 11 Mac 2010 telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan bagi Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan. Mata pelajaran Bahasa Melayu telah berjaya menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun 2008. Bagi pencapaian kelulusan am negeri untuk Bahasa Melayu sebanyak 94.02% berbanding 93.71% pada tahun 2008. Pencapaian ini turut mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan iaitu 90.80%. Berikut perincian keputusan Bahasa Melayu peringkat negeri untuk tahun 2009:
Jumlah Calon - 29137 orang
Bilangan Lulus - 27394 orang ( 94.02% )
Cemerlang A+ - 3938 orang ( 13.52% )
Gred Purata Mata Pelajaran - 3.70
Tahniah diucapkan kepada guru-guru Bahasa Melayu tingkatan 4 dan 5 seluruh Kelantan yang telah memberi keiltizaman yang tinggi mengajar dan mendidik para pelajar sehingga mereka berjaya mencapai kejayaan tersebut. Semoga usaha gigih semua guru akan terus ditingkatkan pada 2010 ini demi kejayaan seterusnya. Syabas dan tahniah !
Sementara itu, bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif (KMe) turut mencatatkan peningkatan kelulusan yang ketara, di mana pada tahun SPM 2009 sebanyak 77.35% berbanding dengan SPM 2008 sebanyak 67.25%, iaitu peningkatan 10.10%.
Ini menunjukkan bahawa kesungguhan guru-guru KMe yang berusaha gigih bagi memastikan mata pelajaran berkenaan terus menepati aspirasi semasa negara. Ucapan syabas dan tahniah kepada semua guru KMe dan kepada para pelajar yang berjaya dalam meningkatkan pencapaian berkenaan.

Tuesday 9 March 2010

Program MBM - Kelolaan JPN & IPG

Siri kursus ke-2, di bawah Program Memartabatkan Bahasa Melayu - kelolaan Unit Bahasa bersama IPG Kampus Kota Bharu ialah STRATEGI PENGAJARAN BAHASA MELAYU BERKESAN yang akan diadakan pada 23 - 25 Mac 2010, yang akan diadakan di IPG Kampus Kota Bharu. Peserta kursus dihadkan kepada 25 orang guru Bahasa Melayu dari sekolah rendah dan sekolah menengah. Peserta kursus yang terpilih akan dipertanggungjawabkan membantu PPD dan JPN dalam melatih guru-guru lain pada masa depan. Guru-guru yang berminat untuk mengikuti kursus berkenaan boleh hubungi Unit Bahasa JPN Kelantan.

Thursday 4 March 2010

Siri Kursus MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU (MBM) - UNIT BAHASA BERSAMA IPGM KAMPUS KOTA BHARU

Unit Bahasa JPN Kelantan bersama-sama Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu akan memulakan siri kursus Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) kepada guru-guru Bahasa Melayu sekolah rendah dan sekolah menengah negeri Kelantan. Kursus MBM ini terkandung dalam 8 siri merangkumi aspek pedagogi bahasa, tatabahasa, kreativiti kebahasaan, penggunaan aplikasi teknologi dalam bahasa, konsep didik hibur dalam pengajaran bahasa. Siri kursus ini di bawah arahan Bahagian Pendidikan Guru, KPM dengan kelolaan bersama JPN dan IPGM.
Oleh kerana jumlah pesertanya agak terhad iaitu 200 orang guru untuk 8 siri kursus, hanya guru-guru yang berminat sahaja diberi keutamaan. Guru-guru Bahasa Melayu yang berminat mengikuti kursus boleh menghubungi Unit Bahasa JPN Kelantan di talian 09-7418365. Guru-guru yang terpilih dan mengikuti kursus akan dilantik menjadi Jurulatih Utama MBM JPN dan PPD masing-masing bagi membantu JPN/PPD melaksanakan kursus pada masa akan datang. Siri kursus pertama akan berlangsung pada 9 - 11 Mac 2010 di IPGM Kota Bharu dengan tajuk Pemantapan Tatabahasa.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa