Friday, 12 March 2010

SPM 2009 - PENCAPAIAN BAHASA MELAYU MENINGKAT

Tahniah! Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2009 yang diumumkan pada 11 Mac 2010 telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan bagi Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan. Mata pelajaran Bahasa Melayu telah berjaya menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun 2008. Bagi pencapaian kelulusan am negeri untuk Bahasa Melayu sebanyak 94.02% berbanding 93.71% pada tahun 2008. Pencapaian ini turut mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan iaitu 90.80%. Berikut perincian keputusan Bahasa Melayu peringkat negeri untuk tahun 2009:
Jumlah Calon - 29137 orang
Bilangan Lulus - 27394 orang ( 94.02% )
Cemerlang A+ - 3938 orang ( 13.52% )
Gred Purata Mata Pelajaran - 3.70
Tahniah diucapkan kepada guru-guru Bahasa Melayu tingkatan 4 dan 5 seluruh Kelantan yang telah memberi keiltizaman yang tinggi mengajar dan mendidik para pelajar sehingga mereka berjaya mencapai kejayaan tersebut. Semoga usaha gigih semua guru akan terus ditingkatkan pada 2010 ini demi kejayaan seterusnya. Syabas dan tahniah !
Sementara itu, bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif (KMe) turut mencatatkan peningkatan kelulusan yang ketara, di mana pada tahun SPM 2009 sebanyak 77.35% berbanding dengan SPM 2008 sebanyak 67.25%, iaitu peningkatan 10.10%.
Ini menunjukkan bahawa kesungguhan guru-guru KMe yang berusaha gigih bagi memastikan mata pelajaran berkenaan terus menepati aspirasi semasa negara. Ucapan syabas dan tahniah kepada semua guru KMe dan kepada para pelajar yang berjaya dalam meningkatkan pencapaian berkenaan.

No comments:

Post a comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa