Thursday 4 March 2010

Siri Kursus MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU (MBM) - UNIT BAHASA BERSAMA IPGM KAMPUS KOTA BHARU

Unit Bahasa JPN Kelantan bersama-sama Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu akan memulakan siri kursus Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) kepada guru-guru Bahasa Melayu sekolah rendah dan sekolah menengah negeri Kelantan. Kursus MBM ini terkandung dalam 8 siri merangkumi aspek pedagogi bahasa, tatabahasa, kreativiti kebahasaan, penggunaan aplikasi teknologi dalam bahasa, konsep didik hibur dalam pengajaran bahasa. Siri kursus ini di bawah arahan Bahagian Pendidikan Guru, KPM dengan kelolaan bersama JPN dan IPGM.
Oleh kerana jumlah pesertanya agak terhad iaitu 200 orang guru untuk 8 siri kursus, hanya guru-guru yang berminat sahaja diberi keutamaan. Guru-guru Bahasa Melayu yang berminat mengikuti kursus boleh menghubungi Unit Bahasa JPN Kelantan di talian 09-7418365. Guru-guru yang terpilih dan mengikuti kursus akan dilantik menjadi Jurulatih Utama MBM JPN dan PPD masing-masing bagi membantu JPN/PPD melaksanakan kursus pada masa akan datang. Siri kursus pertama akan berlangsung pada 9 - 11 Mac 2010 di IPGM Kota Bharu dengan tajuk Pemantapan Tatabahasa.

No comments:

Post a Comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa