Tuesday, 20 January 2009

Siri Taklimat Pengurusan Panitia Bahasa Melayu 2009

Unit Bahasa Melayu, JPN Kelantan mengadakan siri Taklimat Khas Pengurusan Panitia kepada Ketua Panitia Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Menengah seluruh negeri Kelantan. Siri taklimat ini diadakan mengikut PPD masing-masing sebagaimana tarikh berikut:

12 - 14/1/2009 - PPD Kota Bharu
15/1/2009 - PPD Bachok
19/1/2009 - PPD Pasir Mas
21/1/2009 - PPD Tumpat
1/2/2009 - PPD Pasir Puteh
2/2/2009 - PPD Tanah Merah
8/9/2009 - PPD Gua Musang
9/2/2009 - PPD Kuala Krai
10/2/2009 - PPD Jeli

Taklimat ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat berhubung pengurusan panitia mata pelajaran bagi memastikan proses P&P berjalan lancar dan matlamat meningkatkan pencapaian cemerlang mata pelajaran Bahasa Melayu 2009 berhasil. Antara isi kandungan taklimat merangkumi:
1. Usaha memperkasakan peranan Ketua Panitia Bahasa Melayu di sekolah.
2. Pengurusan Fail Panitia secara berkesan.
3. Isu P&P berkesan di bilik darjah.
4. Penulisan karangan berfokus.
5. Pemantauan Berfokus Akademik (e-Cakna) Bahasa Melayu.
6. Program khas Bahasa Melayu KPM

Pengurusan teknikal siri taklimat ini telah diurus selia oleh Pegawai Unit Bahasa PPD yang terlibat.

No comments:

Post a Comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa