Saturday, 21 November 2009

Tahniah & Syabas Sekolah BM 100%

Unit Bahasa JPN Kelantan merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan tahniah kepada 2 buah sekolah yang berjaya mencatat keputusan lulus 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Melayu Penulisan, iaitu:

SRA Tengku Amalin Aishah Puteri, Kota Bharu, dan SK Sungai Bagan, Machang

Manakala, sebanyak 15 buah sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, iaitu:
SK Bukit Tanah, SK Seri Wakaf Bharu, SK Zainab 2, SK Penggu, SK Perol, SK Raja Abdullah
SK Pulau Gajah, SK Beris Kubor Besar, SK Bendang Pauh, SK Chicha Tinggi, SK Baroh Pial, SK Bukit Gading, SK Chabang 3 Chetok, SK Bukit Awang, dan SK Pengkalan Kubor Salor

Sementara itu, SK Ladang Taku, Kuala Krai berjaya mencatat kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan.

Unit Bahasa JPN merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pentadbir, guru-guru Bahasa Melayu dan para pelajar UPSR 2009 yang telah memberikan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan keputusan tersebut. Teruskan usaha gigih anda semua !

No comments:

Post a Comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa