Thursday, 31 December 2015

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI 2016

Selamat menyambut tahun baru 2016. Semoga tahun 2016 ini memberi banyak kejayaan dan kesejahteraan kepada kita semua khususnya dalam usaha memartabatkan dan mendaulat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu utama di negara ini.

Untuk makluman Akademik Bahasa akan beroperasi kembali untuk tahun 2016 ini dan dalam masa ini blog ini dalam proses penyelenggaraan dan penambahbaikan.

DALAM PROSES PENYELENGGARAN DAN PENAMBAHBAIKAN

HARAP MAAF!!!

Wednesday, 17 April 2013

TAKLIMAT DASAR MBMMBI 2013 KEPADA GURU KANAN BAHASA

Taklimat Penyebaran Dasar MBMMBI kepada Guru Kanan Bahasa Sekolah Menengah JPN Kelantan telah diadakan pada 16 April 2013 bertempat di PPD Bachok. Guru-guru Kanan Bahasa yang terlibat adalah terdiri daripada Guru Kanan Bahasa PPD Bachok, PPD Kota Bharu, PPD Tumpat dan PPD Pasir Mas. Taklimat telah disampaikan oleh En.Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Jabatan Pelajaran Kelantan. Guru Kanan Bahasa boleh mendapatkan bahan taklimat melalui pautan berikut http://www.ziddu.com/download/22032630/TAKLIMAT_DASAR_DAN_PROGRAM_BAHASA_MELAYU_KPM.pptx.html atau melalui ruang MUAT TURUN.

Saturday, 13 October 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

PPPM 2013-2025 merupakan satu pelan jangka panjang pendidikan negara untuk membawa pendidikan negara setara dengan negara maju.

Tuesday, 17 April 2012

Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu Elektif peringkat BPK dan JPN


17-19 April. Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Unit Bahasa Melayu dan KMe antara pegawai BPK dan Pegawai Bahasa peringkat JPN telah diadakan pada 17-19 April 2012 bertempat di Hotel Vistana Kuala Lumpur. Mesyuarat telah dihadiri oleh En.Mohd Hassany Hashim, KPP Bahasa Melayu dan En.Hamdan Abd.Kadir, Pen.Pengarah Bahasa Melayu.Mesyuarat mempbincangkan pelaporan aktiviti peringkat JPN dan perancangan unit bahasa untuk tahun 2012. Mesyuarat dipengerusikan oleh Hajah Farizah Hanin, Ketua Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM.

Saturday, 3 March 2012

Dasar MBMMBI 2012: Melestarikan pemartabatan Bahasa Melayu

Selaras dengan ketetapan kerajaan untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Perkara 152, usaha kerajaan diperteguhkan lagi melalui pelaksanaan kursus-kursus profesionalisme guru-guru bahasa Melayu di bawah Dasar MBMMBI bagi tahun 2012. Program peningkatan profesionalisme guru-guru bahasa Melayu diteruskan melalui pelaksanaan kursus-kursus kendalian Kementerian Pelajaran Malaysia kepada jabatan pelajaran seluruh negeri. Kesungguhan KPM untuk melaksanakan dasar MBMMBI diterjemahkan melalui komitmen pelaksanaan kursus-kursus peningkatan profesionalisme pedagogi guru-guru bahasa Melayu. Guru-guru bahasa Melayu yang berminat untuk meningkatkan profesionalisme pedagogi di bilik darjah dijemput untuk memohon mengikuti kursus-kursus tersebut yang dikendalikan oleh jabatan pelajaran negeri masing-masing. Berikut adalah senarai kursus yang akan dilaksanakan untuk tahun 2012.

KURSUS PENINGKATAN PROFESIONALISME PEDAGOGI GURU BAHASA MELAYU BAGI GURU-GURU DI BAWAH KELOLAAN JABATAN PELAJARAN KELANTAN 

Monday, 2 January 2012

Hari Pertama persekolahan 2012

03.01.2012 adalah hari pertama persekolahan tahun 2012 bagi negeri Kelantan,Terengganu dan Kedah. Manakala negeri-negeri lain akan memulakan hari persekolahan pd 04.01.2012. Sesi persekolahan 2012 pasti membawa cabaran baru yang lebih mencabar dengan penerusan pelaksanaan dasar MBMMBI yg telah dimulai tahun 2011, sementara transformasi pendidikan melalui pelaksanaan KSSR memasuki fasa kedua dengan murid tahun 2 mula mengikuti kurikulum standard. Manakala program LINUS akan memasuki fasa akhir dan penting kerana tahun 2012 merupakan tahun sasaran KPI NKRA yang perlu dicapai 100% bagi murid kohort pertama bagi Tahun 1 pada tahun 2010. Bagi sesi persekolahan 2012 ini juga merupakan tahun permulaan pelakasanaan transformasi pendidikan vokasional melalui Pendidikan Aliran Vokasional. Semua ini sudah tentu memerlukan komitmen yang tidak sedikit daripada pelbagai pihak sama ada kepimpinan sekolah mahu pun guru-guru sebagai kumpulan pelaksana. Semoga cabaran yang bakal didepani sepanjang 2012 ini akan mematangkan kita semuua demi menjayakan isiv dan agenda da pendidikan negara demi masa depan anaak bangsa. SALAM HORMAT DARIPADA AKADEMIKBAHASA

Thursday, 15 December 2011

UPSR 2011: Kelantan mencatat keputusan terbaik dalam tempoh 8 tahun

Tahniah diucapkan kepada seluruh warga pendidik negeri Kelantan khususnya guru-guru sekolah rendah yang telah berjaya meletakkan JPN Kelantan pada kedudukan terbaik keseluruhannya dalam keputusan UPSR 2011. Berdasarkan keputusan UPSR 2011 yang telah diumumkan baru-baru ini, JPN Kelantan berjaya menduduki tempat kedua peringkat kebangsaan di belakang JPN Wilayah Persekutuan Putrajaya dari aspek pencapaian Gred Purata Negeri dan Kelulusan Minimum ABC. Pencapaian yang membanggakan ini merupakan hasil komitmen tinggi dan sokongan semua pihak sama ada pegawai jabatan, PPD, guru besar dan guru-guru seluruh negeri. Melalui perancangan yang baik, dan pelaksanaan program akademik yang dilaksanakan mengikut perancangan serta kesungguhan guru-guru, JPN Kelantan telah mampu memperolehi keputusan terbaik dalam tempoh 8 tahun. Antara perancangan dan program yang telah memberi impak besar terhadap keputusan UPSR 2011 ialah keprihatinan kepimpinan tertinggi jabatan, keseriusan pegawai melaksanakan tanggungjawab, pemantapan Program Headcount HC3 JPN (sejak tahun 2006), pelaksanaan pencerapan e-Cakna (sistem pencerapan dan pemantauan PdP), program bersama Guru Cemerlang, program perkongsian pintar bersama MGB dan NGO.

Info UPSR 2011 JPN Kelantan

Gred Purata Negeri : 2.09
Peratus Kelulusan ABC : 73.58%
Peratus Kecemerlangan A : 15.45%
Sekolah lulus 100% : 5 buah sekolah
(SK Kamil 3,Pasir Puteh; SK Bendang Pauh, & SK Chabang 3 Chetok,Pasir Mas, SRA Tengku Amalin Aishah, Kota Bharu, dan SK Biak, Kuala Krai.

Saturday, 29 October 2011

Bulan Bahasa Kebangsaan 2011

Unit Bahasa JPN Kelantan dan DBP Wilayah Timur menganjurkan program Pertandingan Pengucapan Berirama pd 30 Okt 2011 di SMK Tanah Merah 1. Pertandingan itu disertai oleh 10 buah sekolah dari 10 PPD. Pertandingan bertemakan 1Bahasa 1bangsa 1Negara. Manakala Pertandingan Pengisahan Tokoh diadakan pd 31 Okt bertempat di SMK Tendong. Seramai 20 orang pelajar dari kategori sekolah rendah dan sekolah menengah menyertai pertandingan ini. Kedua-dua pertandingan ini diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011.

Thursday, 13 October 2011

MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011

13 Okt 2011. YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran telah menyempurnakan majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 bertempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.


"Sebagai Menteri Pelajaran, saya memikul satu amanah yang berat untuk terus mempertahan dan memperkukuhkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. InsyaAllah, dengan sokongan anda semua, amanah ini akan saya galas sedaya upaya saya."



Angin berputar ombak bersahut
Membujur lalu melintang patah
Usahlah kita kelam kelibut
Amanah bangsa dijulang megah

Teks Perutusan TPM sempena BBK 2011

Teks Perutusan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 boleh dimuat turun melalui alamat berikut:

http://www.ziddu.com/download/16802868/TEKSPERUTUSANBBK2011.doc.html

Tuesday, 13 September 2011

Pemantauan Pelaksanaan Dasar MBMMBI KSSR 2011

Jabatan Pelajaran Kelantan sedang melaksanakan proses pemantauan bagi mendapat maklum balas pelaksanaan Dasar MBMMBI KSSR 2011 ke semua sekolah negeri Kelantan. Program pemantauan ini merupakan arahan daripada KPM agar dilaksanakan ke semua sekolah rendah seluruh negeri Kelantan. Pemantauan ini melibatkan responden pentadbir dan responden guru BM dan BI yang mengajar tahun 1. Adalah diharapkan pihak sekolah khususnya Guru Besar dan semua guru BM & BI tahun 1 dapat memberi kerjasama dalam menjayakan program pemantauan tersebut.

Saturday, 30 July 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

AKADEMIKBAHASA INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK DAN SEMOGA KITA DAPAT MENJALANI IBADAH PUASA DENGAN SEMPURNA DAN MENDAPAT KERAHMATAN ILAHI.

Tuesday, 19 July 2011

SELAMAT BERSARA TUAN KSPA

19 JULAI 2011 merupakan satu tarikh yang mengharukan kepada warga Sektor Pengurusan Akademik JPN Kelantan kerana telah 'kehilangan' seorang ketua yang cukup dedikasi dan amat memahami. Tuan Haji Mohd Adnan bin Mohd Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik telah menamatkan perkhidmatannya dengan bersara wajib 58 tahun. SELAMAT BERSARA TUAN KETUA SEKTOR PENGURUSAN AKADEMIK!

Monday, 11 July 2011

SAHIBBA TINGKATKAN KOSA KATA - Utusan Malaysia (12/07/2011)

KOTA BHARU 11 Julai – Perbendaharaan kata adalah kunci kepada penguasaan bahasa yang baik sama ada kepada seorang penulis, pelajar dan hampir kesemua profesion yang menuntut pembinaan karangan dalam tugas seharian mereka.Tanpa kosa kata yang sesuai, seseorang tidak akan dapat menyalurkan maklumat yang ingin disampaikan dengan tepat, malah pihak menerima informasi mungkin juga akan salah faham.Secara umumnya, kita mengetahui usaha telah dilakukan pihak berwajib sejak dari peringkat awal lagi melalui pengajaran dan pembelajaran formal dalam kelas di sekolah bagi memastikan generasi muda mempunyai perbendaharaan kata yang tinggi.Konsep ‘bersahabat’ dengan kamus mungkin antara perkara yang diterapkan bagi membantu pelajar menguasai ribuan perbendaharaan kata, namun ia juga perlu disokong dengan sesuatu rangsangan yang boleh mendorong minat mereka untuk mula membuka kamus.
Menyedari hakikat itu, mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah menganjurkan Pertandingan Sahibba Sekolah Menengah dan Rendah peringkat kebangsaan bertujuan meningkatkan bilangan dan penggunaan kosa kata dalam bahasa Melayu di kalangan pelajar.Sejak Jun lalu, pertandingan Sahibba peringkat daerah dan negeri giat diadakan bagi memilih wakil masing-masing ke pertandingan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, Oktober depan.Permainan Sahibba adalah permainan papan membentuk perkataan bahasa Melayu berdasarkan permainan popular Scrabble yang berasal dari Amerika Syarikat (AS). Dalam permainan yang disertai sekurang-kurangnya dua pemain ini, mereka dikehendaki membina perkataan sama ada secara melintang atau menegak di atas papan menggunakan kepingan jubin yang diambil secara rawak dari uncang disediakan. Sahibba diperkenalkan pada 1976 oleh seorang guru dari Perak, Ting Sie Bing yang mengambil masa selama empat tahun melakukan kajian tentang permainan Scrabble sebelum mengadaptasinya ke versi bahasa Melayu.
Ketua Penolong Pengarah Bahasa Unit Bahasa Melayu Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd. Hassany Hashim berkata, permainan Sahibba berbeza dengan Scrabble kerana pembinaan perkataan bahasa Melayu menggunakan huruf vokal yang lebih banyak berbanding bahasa Inggeris. (Utusan Malaysia 12/07/2011)

Saturday, 9 July 2011

Pertandingan SAHIBBA Peringkat Negeri Kelantan 2011

Mohd Hassany Hashim menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang



4 Julai 2011 - Unit Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Kelantan dan Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Syarikat Permainan Malaysia telah berjaya menganjurkan Pertandingan SAHIBBA Peringkat Negeri Kelantan bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah. Pertandingan ini adalah sebahagian aktiviti awal bagi mengisi program Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 yang akan dilangsungkan bulan Oktober nanti. Pertandingan ini juga merupakan aktiviti tambahan di bawah Program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sekarang. Pertandingan Sahibba ini bertujuan untuk membina daya kreativiti di kalangan pelajar dalam aspek kosa kata selain memperkayakan kosa kata pelajar. Melalui pertandingan seumpama ini, pelajar dapat memupuk minda kreatif di dalam membina kosa kata bahasa Melayu dan seterusnya dapat memperkayakan perbendaharaan kata mereka. Ini secara tidak langsung dapat membina keyakinan pelajar untuk menggunakan bahasa Melayu standard di dalam percakapan harian mereka.

Menurut Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu JPN Kelantan di dalam ucapan perasmian penutup pertandingan tersebut, "permainan SAHIBBA boleh dijadikan sebahagian alat pembelajaran yang berkesan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu kalangan pelajar kerana melalui permainan Sahibba, guru-guru dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan menghibur. Ini amat bertepatan dengan salah satu strategi di dalam MBM iaitu konsep didik hibur di dalam pengajaran guru di bilik darjah". Beliau mencadangkan guru-guru bahasa Melayu supaya menjadikan permainan sahibba sebagai salah satu kaedah pengajaran berkonsepkan didik hibur di bilik darjah. Menurut beliau lagi, pihak jabatan akan berusaha menjadikan pertandingan Sahibba sebagai program tahunan Unit Bahasa Melayu jabatan agar matlamat kerajaan meningkatkan penguasaan pelajar di dalam penggunaan bahasa Melayu standard berjaya.

Di dalam pertandingan tersebut, pelajar Nasrul Airie Azahar, 15 dan Qistina Iwani Mukhtar dari SMK Dato, Mahmud Paduka Raja 2 Tanah Merah berjaya mendapat tempat pertama dan naib juara bagi kategori sekolah menengah, mana kala Luqman Hakim Kamaruden, dari SMK Bachok mendapat tempat ke-3. Sementara bagi kategori sekolah rendah, Nur Anina Nazirah Mohd Noor Yusmadi, 12 dari SK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas mendapat tempat pertama, Naimi Syahira Mohamad dari SK Kamil 2 Pasir Puteh dan Siti Jamilah Hafizi dari SK Padang Garong 1 Kota Bharu masing-masing mendapat tempat ke-2 dan ke-3. Mereka semua akan mewakili negeri Kelantan ke Pertandingan SAHIBBA peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Oktober sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Tuesday, 28 June 2011

BENGKEL PERMAINAN SAHIBBA 2011

Unit Bahasa JPN Kelantan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah berjaya menganjurkan Bengkel Permainan Silang Kata SAHIBBA kepada guru-guru Bahasa Melayu yang akan bertindak sebagai Hakim di dalam Pertandingan SAHIBBA Peringkat Negeri Kelantan 2011 yang akan dilangusngkan pada 4 Julai 2011, bertempat di BTPN Kelantan.
Bengkel SAHIBBA ini diadakan sebanyak 2 bermula pada 25 Mei 2011, di Sudara Beach Resprt, dan pada 29 Jun 2011, di PKG Banggol. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran kepada guru-guru bagi mengadili pertandingan yang akan diadakan kelak. Seramai 25 orang guru Bahasa Melayu telah menyertai bengkel tersebut, dan mereka akan dilantik sebagai hakim pertandingan Sahibba yang akan diadakan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri dan kebangsaan pada Oktober nanti.

Saturday, 14 May 2011

SELAMAT HARI GURU - GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

"Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang di kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi."


Pantun lama yang menjadi pembuka kepada sajak khas Guru Oh Guru karya Allahyarham SN Datuk Usman Awang yang ditujukan khas kepada setiap insan yang bernama GURU. Sajak tersebut begitu sinonim dengan sambutan Hari Guru yang diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Sempena sambutan Hari Guru 2011 ini, Unit Bahasa JPN Kelantan mengambil kesempatan dan ruang untuk mengucapkan SELAMAT HARI GURU, CIKGU ! kepada semua guru seluruh Malaysia dan khususnya guru-guru di negeri Kelantan. Marilah kita bersama-sama menghayati dan melaksanakan peranan dan amanah yang telah diberikan kepada kita dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Kitalah para guru yang bertanggungjawab menjadikan dunia pendidikan di Malaysia berada pada tahap yang terbaik selaras dengan tema Hari Guru tahun ini - GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA.


Kepada guru-guru Bahasa Melayu seluruh negara, sebuah sajak sebagai bingkisan sempena Hari Guru ini




Wednesday, 23 March 2011

SPM 2010: PENCAPAIAN KELANTAN MEMBANGGAKAN

23 Mac 2011: Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2010 telah diadakan di Bilik Gerakan Jabatan Pelajaran Kelantan bermula jam 9.00 pagi. Pengumuman rasmi peringkat negeri telah dilakukan oleh YABrs Tuan Haji Hussain Awang, Pengarah Pelajaran Kelantan yang turut dihadiri bersama pegawai-pegawai di jabatan dan PPD. JPN Kelantan sekali lagi telah membuktikan komitmen dalam mencapai matlamat menjadikan pendidikan Kelantan bagi tahun 2010 cemerlang melalui pencapaian peperiksaan awam utama. Setelah berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan STPM, pencapaian SPM 2010 juga turut mencatatkan keputusan yang sama. Secara keseluruhannya SPM 2010 telah menunjukkan prestasi yang membanggakan. Menurut Pengarah Pelajaran Kelantan, pencapaian ini merupakan usaha bersama semua pihak sama ada di peringkat JPN, PPD, sekolah, guru-guru, pelajar, dan ibu bapa. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media yang turut sama dalam memberi sokongan kepada jabatan dan sekolah berkaitan bidang pendidikan.

Info SPM 2010

Calon Sekolah Bantuan Kerajaan - 28, 323 orang
Sekolah - 139
Gred Purata Negeri - 5.15 (meningkat 0.11)
Peratus calon layak mendapat sijil (berdasar kelulusan BM) - 93.73%
Sekolah lulus 100% - 22 buah
Calon cemerlang A - 278 orang ( 0.98% )

Tuesday, 15 March 2011

Komitmen kerajaan menjayakan Dasar MBMMBI

Sejak mula diumumkan pada 8 Julai 2009, kerajaan mempunyai komitmen yang tinggi dalam menjayakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kesungguhan dan keseriusan kerajaan melaksanakan dasar MBMMBI bagi menggantikan dasar PPSMI diperlihatkan melalui pelbagai pelaksanaan program yang meliputi semua peringkat. Malahan kesungguhan itu diterjemahkan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Bahasa Kebangsaan yang diluluskan oleh Jemaah Kabinet. Kementerian Pelajaran Malaysia telah dipertangggungjawabkan sebagai kementerian utama menggerakkan dasar MBMMBI ini di samping Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan, Kesenian dan Komunikasi. Komitmen tinggi kerajaan diterjemahkan melalui kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran bahawa kerajaan amat prihatin dan serius bagi menjayakan dasar MBMMBI dan ia tidak boleh gagal.

Thursday, 17 February 2011

Dasar MBMMBI 2011

Mulai Mac hingga Oktober 2011, Unit Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Kelantan akan menganjurkan siri kursus bahasa Melayu di bawah program Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) Kementerian Pelajaran Malaysia. Kursus-kursus ini akan diadakan dalam tiga kategori berdasarkan peruntukan yang disalurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru, KPM, iaitu:
1. Kursus Kelolaan Pendek Institut (KPKI) bersama IPG Kota Bharu dan IPG Sultan Mizan. Seramai 275 orang guru dijangka terlibat dalam siri kursus di IPG Kota Bharu, melalui 11 siri kursus dengan 25 orang peserta bagi setiap pengambilan. Manakala di IPG Sultan Mizan, seramai 135 orang guru akan dipilih untuk mengikut kursus berkenaan dengan 13 orang bagi setiap siri kursus.
2. Kursus Dalam Perkhidmatan 4 Minggu akan dilaksanakan bermula 4 April - 29 April 2011 untuk Ambilan 1 yang akan diadakan di IPG Sultan Mizan. Manakala ambilan 2 bermula 20 Jun -21 Julai 2011, ditempatkan yang sama. Setiap pengambilan melibatkan 30 orang peserta.
Tajuk Kursus KPKI:
1. Bengkel Pengajaran Penulisan Bahasa Melayu (SR)
2. Kursus Pemantapan Tatabahasa Bahasa Melayu (SM)
3. Kursus Pengajaran Puisi Tradisional (SM)
4. Kursus Pengajaran dan Penghayatan Sastera (Komsas) SM
5. Kursus Strategi Pengajaran Berkesan (SM)
6. Kursus Pengajaran Seni Bahasa dalam Bahasa Melayu (SR)
7. Kursus Pengajaran Bahasa Melayu menggunakan e-kamus (SM)
8. Kursus Penggunaan TMK dalam Pengajaran Bahasa Melayu (SR)
9. Kursus Pengajaran Berfokuskan Murid (SR)
10. Kursus Teknik Didik Hibur dan Kreativiti dalam Pengajaran Bahasa Melayu (SR)
11. Kursus Teknik Bercerita dalam Pengajaran Bahasa Melayu (SR)
Guru-guru yang berminat boleh hubungi Unit Bahasa Melayu JPN Kelantan atau emelkan maklumat diri: (Nama, No.KP, sekolah, no.telefon, opsyen, pengalaman mengajar BM, kursus yang ingin dihadiri) kepada emel unitbahasa@gmail.com.
*Guru-guru yang pernah mengikuti kursus MBMMBI tahun 2010 tidak digalakkan memohon untuk memberi peluang kepada guru-guru yang masih belum pernah mengikuti kursus di bawah program MBMMBI.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa