AkademikBahasa, Unit Bahasa Melayu, Sektor Pengurusan Akademik
Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Thursday, 23 September 2010

Aktiviti sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010

Bulan Oktober telah diisytiharkan sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai 2009. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 ini bertemakan "1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara" selaras dengan konsep 1 Malaysia. Pelancaran BBK 2010 peringkat kebangsaan akan berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh Perak pada 5 Oktober yang dijangka akan dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia.
Unit Bahasa Jabatan Pelajaran Kelantan turut terlibat dalam menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaa 2010 peringkat Kelantan yang akan diadakan pada 18 Oktober 2010, bertempat di Balai Islam, Lundang. Selain itu, Unit Bahasa JPN Kelantan dijangka melancarkan sambutan BBK 2010 peringkat sekolah-sekolah Kelantan pada 17 Oktober 2010. Pelancaran dijangka disempurnakan oleh YABrs Pengarah Pelajaran Kelantan.
Sepanjang sambutan BBK 2010, Unit Bahasa JPN Kelantan akan mengadakan beberapa aktiviti bagi memeriahkan sambutan BBK, antara aktiviti yang akan diadakan ialah:
- Pertandingan Pengisahan Tokoh BBK 2010
- Sayembara Deklamasi Puisi BBK 2010
- Perhimpunan Mingguan BBK 2010 sekolah seluruh negeri

0 comments:

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan: KEPADA PENDIDIK

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa

"Magical Template" designed by Blogger Buster