AkademikBahasa, Unit Bahasa Melayu, Sektor Pengurusan Akademik
Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Sunday, 25 April 2010

Pertandingan Menulis Cerita Pendek (Cerpen) Sempena Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2010

Unit Bahasa JPN Kelantan sekali lagi akan menganjurkan Pertandingan Menulis Cerita Pendek (Cerpen) sempena Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2010. Pertandingan kali ini bertemakan " Guru, Jasa mu Dikenang ". Syarat-syarat pertandingan adalah seperti berikut:
1. Terbuka kepada semua pelajar dan guru yang berdaftar di sekolah JPN Kelantan.
2. Penyertaan perlu dibuat melalui sekolah masing-masing.
3. Pertandingan dibahagikan kepada 4 kategori, iaitu :
i. Kategori Sekolah Rendah ( Tahun 4 hingga 6 )
ii. Kategori Sekolah Menengah Rendah ( Ting. 1 hingga 3 )
iii. Kategori Sekolah Menengah Atas ( Ting 4 hingga 6 Atas )
iv. Kategori Guru
4. Jumlah patah perkataan bagi setiap cerpen yang dihantar ialah mengikut kategori berikut:
i. Sekolah Rendah - 150 hingga 200 perkataan
ii. Sekolah Menengah Rendah - 200 hingga 300 perkataan
iii. Sekolah Menengah Atas - 300 hingga 500 perkataan
iv. Guru - 700 hingga 1000 perkataan
5. Setiap cerpen yang dihantar perlu ditaip mengikut huruf ARIAL dan saiz 12 serta ditaip langkau 2 baris (double spacing), menggunakan kertas A4. Cerpen yang dihantar tidak mengikut spesifikasi tersebut tidak akan dilayan dan dinilai.
6. Cerpen yang dihantar mestilah ASLI dan tidak diciplak daripada mana-mana karya lain. Sekiranya didapati cerpen tersebut diciplak, pemenangnya boleh dibatalkan.
7. Setiap keputusan penghakiman adalah muktamad.
8. Tarikh tutup penyertaan dan penghantaran sebelum 16 MEI 2010. Sebarang kelewatan penghantaran tidak akan dilayan. Cerpen yang telah siap perlu dihantar /datang sendiri ke alamat berikut:
UNIT BAHASA
JABATAN PELAJARAN NEGERI KELANTAN
15000 JALAN DOKTOR, KOTA BHARU
KELANTAN.

0 comments:

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa

"Magical Template" designed by Blogger Buster