Monday 2 January 2012

Hari Pertama persekolahan 2012

03.01.2012 adalah hari pertama persekolahan tahun 2012 bagi negeri Kelantan,Terengganu dan Kedah. Manakala negeri-negeri lain akan memulakan hari persekolahan pd 04.01.2012. Sesi persekolahan 2012 pasti membawa cabaran baru yang lebih mencabar dengan penerusan pelaksanaan dasar MBMMBI yg telah dimulai tahun 2011, sementara transformasi pendidikan melalui pelaksanaan KSSR memasuki fasa kedua dengan murid tahun 2 mula mengikuti kurikulum standard. Manakala program LINUS akan memasuki fasa akhir dan penting kerana tahun 2012 merupakan tahun sasaran KPI NKRA yang perlu dicapai 100% bagi murid kohort pertama bagi Tahun 1 pada tahun 2010. Bagi sesi persekolahan 2012 ini juga merupakan tahun permulaan pelakasanaan transformasi pendidikan vokasional melalui Pendidikan Aliran Vokasional. Semua ini sudah tentu memerlukan komitmen yang tidak sedikit daripada pelbagai pihak sama ada kepimpinan sekolah mahu pun guru-guru sebagai kumpulan pelaksana. Semoga cabaran yang bakal didepani sepanjang 2012 ini akan mematangkan kita semuua demi menjayakan isiv dan agenda da pendidikan negara demi masa depan anaak bangsa. SALAM HORMAT DARIPADA AKADEMIKBAHASA

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa