Thursday 17 February 2011

Dasar MBMMBI 2011

Mulai Mac hingga Oktober 2011, Unit Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Kelantan akan menganjurkan siri kursus bahasa Melayu di bawah program Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) Kementerian Pelajaran Malaysia. Kursus-kursus ini akan diadakan dalam tiga kategori berdasarkan peruntukan yang disalurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru, KPM, iaitu:
1. Kursus Kelolaan Pendek Institut (KPKI) bersama IPG Kota Bharu dan IPG Sultan Mizan. Seramai 275 orang guru dijangka terlibat dalam siri kursus di IPG Kota Bharu, melalui 11 siri kursus dengan 25 orang peserta bagi setiap pengambilan. Manakala di IPG Sultan Mizan, seramai 135 orang guru akan dipilih untuk mengikut kursus berkenaan dengan 13 orang bagi setiap siri kursus.
2. Kursus Dalam Perkhidmatan 4 Minggu akan dilaksanakan bermula 4 April - 29 April 2011 untuk Ambilan 1 yang akan diadakan di IPG Sultan Mizan. Manakala ambilan 2 bermula 20 Jun -21 Julai 2011, ditempatkan yang sama. Setiap pengambilan melibatkan 30 orang peserta.
Tajuk Kursus KPKI:
1. Bengkel Pengajaran Penulisan Bahasa Melayu (SR)
2. Kursus Pemantapan Tatabahasa Bahasa Melayu (SM)
3. Kursus Pengajaran Puisi Tradisional (SM)
4. Kursus Pengajaran dan Penghayatan Sastera (Komsas) SM
5. Kursus Strategi Pengajaran Berkesan (SM)
6. Kursus Pengajaran Seni Bahasa dalam Bahasa Melayu (SR)
7. Kursus Pengajaran Bahasa Melayu menggunakan e-kamus (SM)
8. Kursus Penggunaan TMK dalam Pengajaran Bahasa Melayu (SR)
9. Kursus Pengajaran Berfokuskan Murid (SR)
10. Kursus Teknik Didik Hibur dan Kreativiti dalam Pengajaran Bahasa Melayu (SR)
11. Kursus Teknik Bercerita dalam Pengajaran Bahasa Melayu (SR)
Guru-guru yang berminat boleh hubungi Unit Bahasa Melayu JPN Kelantan atau emelkan maklumat diri: (Nama, No.KP, sekolah, no.telefon, opsyen, pengalaman mengajar BM, kursus yang ingin dihadiri) kepada emel unitbahasa@gmail.com.
*Guru-guru yang pernah mengikuti kursus MBMMBI tahun 2010 tidak digalakkan memohon untuk memberi peluang kepada guru-guru yang masih belum pernah mengikuti kursus di bawah program MBMMBI.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa