Sunday 17 October 2010

NASIB BAHASA MELAYU DI BUMI MELAYU


Rencana yang menarik untuk dibaca, diteliti dan direnungi oleh kita bersama. Ditulis oleh seorang yang bukan memiliki 'bahasa kita' asalnya, tetapi lebih memahami dan menyayangi 'bahasa kita' lebih daripada bahasa ibundanya sendiri. Terima kasih Dr.Ridhuan Tee Abdullah.
Klik pada tajuk untuk membaca rencana

Friday 8 October 2010

Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 Peringkat Kebangsaan

5 Oktober 2010 - YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri telah melancarkan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 peringkat kebangsaan bertempat di Stadium Indera Mulia Ipoh. Dalam ucapan beliau yang juga merupakan Menteri Pelajaran, menyeru semua pihak bertanggungjawab dalam meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam semua aspek urusan pentadbiran mahupun kehidupan harian. Menurut beliau, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menguatkuasakan garis panduan papan iklan berhubung penggunaan bahasa kebangsaan. PBT diminta memainkan peranan membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam dengan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan. Tambah beliau, jika PBT menguatkuasakan undang-undang itu dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri sama Menteri Besar Perak, Datuk Dr.Zambry Ab.Kadir dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa