Tahniah diucapkan kepada seluruh warga pendidik negeri Kelantan khususnya guru-guru sekolah rendah yang telah berjaya meletakkan JPN Kelantan pada kedudukan terbaik keseluruhannya dalam keputusan UPSR 2011. Berdasarkan keputusan UPSR 2011 yang telah diumumkan baru-baru ini, JPN Kelantan berjaya menduduki tempat kedua peringkat kebangsaan di belakang JPN Wilayah Persekutuan Putrajaya dari aspek pencapaian Gred Purata Negeri dan Kelulusan Minimum ABC. Pencapaian yang membanggakan ini merupakan hasil komitmen tinggi dan sokongan semua pihak sama ada pegawai jabatan, PPD, guru besar dan guru-guru seluruh negeri. Melalui perancangan yang baik, dan pelaksanaan program akademik yang dilaksanakan mengikut perancangan serta kesungguhan guru-guru, JPN Kelantan telah mampu memperolehi keputusan terbaik dalam tempoh 8 tahun. Antara perancangan dan program yang telah memberi impak besar terhadap keputusan UPSR 2011 ialah keprihatinan kepimpinan tertinggi jabatan, keseriusan pegawai melaksanakan tanggungjawab, pemantapan Program Headcount HC3 JPN (sejak tahun 2006), pelaksanaan pencerapan e-Cakna (sistem pencerapan dan pemantauan PdP), program bersama Guru Cemerlang, program perkongsian pintar bersama MGB dan NGO.
Info UPSR 2011 JPN Kelantan
Gred Purata Negeri : 2.09
Peratus Kelulusan ABC : 73.58%
Peratus Kecemerlangan A : 15.45%
Sekolah lulus 100% : 5 buah sekolah
(SK Kamil 3,Pasir Puteh; SK Bendang Pauh, & SK Chabang 3 Chetok,Pasir Mas, SRA Tengku Amalin Aishah, Kota Bharu, dan SK Biak, Kuala Krai.





Sejak mula diumumkan pada 8 Julai 2009, kerajaan mempunyai komitmen yang tinggi dalam menjayakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kesungguhan dan keseriusan kerajaan melaksanakan dasar MBMMBI bagi menggantikan dasar PPSMI diperlihatkan melalui pelbagai pelaksanaan program yang meliputi semua peringkat. Malahan kesungguhan itu diterjemahkan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Bahasa Kebangsaan yang diluluskan oleh Jemaah Kabinet. Kementerian Pelajaran Malaysia telah dipertangggungjawabkan sebagai kementerian utama menggerakkan dasar MBMMBI ini di samping Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan, Kesenian dan Komunikasi. Komitmen tinggi kerajaan diterjemahkan melalui kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran bahawa kerajaan amat prihatin dan serius bagi menjayakan dasar MBMMBI dan ia tidak boleh gagal.