Sunday 28 March 2010

Bidang Keberhasilan Utama Guru (T-KRA: Teacher Key Result Area)

Dalam memastikan agenda pendidikan negara tercapai, khususnya Bidang Keberhasilan Uama Kementerian (M-KRA : Ministry Key Result Area), guru juga sewajarnya perlu mempunyai dan melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama seorang Guru (Teacher-Key Result Area: T-KRA). T-KRA ini penting sebagai satu garis panduan untuk guru mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagaimana yang diwar-warkan oleh kerajaan masa kini.
Adalah dicadangkan guru-guru memahami, menghayati dan melaksanakan T-KRA bagi memastikan KPI sebagai seorang guru yang berkesan tercapai dan matlamat agenda pendidikan negara dapat direalisasikan. Lima (5) Bidang Keberhasilan Utama seorang guru ialah:
1. Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pelajaran Tahunan
2. Kandungan mata pelajaran yang diajar
3. Buku Rekod Mengajar
4. Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)/Pedagogi Guru
5. Profesionalisme Profesion Keguruan
Dengan memahami, menghayati dan melaksanakan lima (5) T-KRA yang dinyatakan itu, pasti memudahkan peranan guru dalam melaksanakan tugas dan tangggungjawab yang diamanahkan. Di samping itu, bagi memastikan ke-lima-lima T-KRA tersebut difahami dan dihayati, setiap T-KRA berkenaan perlu mempunyai Indeks Prestasi Petunjuk (KPI) yang ingin dicapai oleh seseorang guru. KPI bagi seorang guru ialah:
1. Sukatan Pelajaran perlu ditamatkan mengikut tempoh yang ditetapkan (berdasar SPI)
2. Penguasaan 100% guru terhadap kandungan mata pelajaran utamanya
3. Buku Rekod Mengajar perlu diselenggara dan dikemaskini (berdasar SPI Bil3/1999)
4. Pelajar seronok mengikuti proses P&P guru (Pedagogi berkesan)
5. Pencapaian pelajar dapat diterjemahkan sebagaimana yang disasarkan guru.
Adalah diharapkan guru-guru akan senantiasa berusaha dengan penuh dedikasi untuk memenuhi tuntutan pelaksanaan T-KRA ini agar KPI yang perlu dicapai mampu memberi impak yang besar kepada masa depan para pelajar dan memenuhi aspirasi pendidikan negara.
" Murid Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Guru Dihargai "

No comments:

Post a Comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa