Cabaran Menanti Tahun 2010
Tahun 2010 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran bagi Unit Bahasa Melayu JPN Kelantan dalam memastikan matlamat dan agenda pendidikan negeri dan negara tercapai. Cabaran mencapai sasaran
NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia dan memenuhi KPI KPPM memerlukan usaha dan komitmen yang bukan sedikit daripada setiap warga pendidikan khususnya para guru dan pegawai bahasa. Empat cabaran utama NKRA (National Key Result Area) atau Bidang Keberhasilan Utama Kebangsaan, ialah:
1. Pencapaian sasaran 20% pendidikan Prasekolah untuk kanak-kanak yang berusia 5 tahun menjelang 2012;
2. Pencapaian sasaran 100% murid tahun 1 (2010) yang tidak mempunyai masalah pembelajaran dapat menguasai kemahiran asas Literasi dan Numerasi pada tahun 2013 melalui Program LINUS;
3. Pencapaian sasaran 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT); dan
4. Perjanjian baru (Bai'ah) dengan Pengetua dan Guru Besar.
SUDUT MAHIR BAHASA
Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:
antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari
Sajak Pilihan Akademik Bahasa
KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)
alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!
SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)
Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa
No comments:
Post a Comment