Thursday 19 November 2009

Keputusan UPSR 2009, Pencapaian Cemerlang !

19 Nov 2009 : Keputusan UPSR 2009 peringkat negeri Kelantan telah diumumkan oleh YABrs Hj.Mohd Ghazali Abd.Rahman, Pengarah Pelajaran Kelantan di Bilik Mesyuarat JPN, jam 10.00 pagi. Keputusan keseluruhan UPSR 2009 amat membanggakan, kerana dalam tempoh 6 tahun ini merupakan pencapaian yang terbaik Kelantan dengan seramai 25,369 calon atau 69.03 peratus mencapai kelulusan am, meningkat 2.25 peratus (seramai 529 calon) berbanding 2008. Manakala kecemerlangan calon semua A (5A & 7A) menunjukkan peningkatan ketara iaitu seramai 5,259 calon atau 14.31 peratus, dengan peningkatan 2.90 peratus atau 1,015 calon. Gred Purata Negeri juga meningkat iaitu 2.25 berbanding 2.32 pada 2008. Gred Purata Negeri juga berjaya mengatasi Gred Purata Kebangsaan. Sementara itu, pencapaian bagi Bahasa Melayu Pemahaman sebanyak 91.28 peratus dengan seramai 32,532 calon lulus, dan seramai 16,005 calon atau 44.91 peratus memperoleh gred A, manakala Bahasa Melayu Penulisan pula seramai 28,919 calon lulus dengan peratus 81.15, dan seramai 18,450 calon (51.77 %) memperoleh gred A. Namun demikian, pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu mengalami sedikit penurunan berbanding tahun 2008. Ini sudah tentu memerlukan daya usaha dan kesungguhan semua pihak bagi memastikan mata pelajaran Bahasa Melayu dapat dipertingkatkan pencapaiannya pada tahun 2010 selaras dengan dasar MBM.

No comments:

Post a Comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa