Wednesday 28 October 2009

Program Memartabat Bahasa Melayu - Bengkel Majalah Dalam Kelas 2009

26 & 27 Okt 2009 - Unit Bahasa JPN Kelantan telah berjaya menganjurkan Program Memartabatkan Bahasa Melayu melalui Bengkel Majalah Dalam Kelas (MDK) 2009. Program ini merupakan anjuran bersama Unit Bahasa JPN Kelantan, DBP Kuala Lumpur dan DAWAMA Sdn. Bengkel MDK ini telah berlangsung di BTPN Kelantan dengan dihadiri seramai 135 guru Bahasa Melayu sekolah menengah dan 100 orang guru sekolah rendah seluruh Kelantan. Bengkel MDK ini telah dikendalikan sendiri oleh pengasas Majalah Dalam Kelas iaitu Tn.Hj.Azizul Rahman Abd.Rahman, Guru Cemerlang Jusa C dari SMK Dato' Syed Sulaiman, Batu Pahat Johor. Menurut En.Mohd Hassany Hashim, KPP Bahasa Melayu JPN, sewaktu menyampaikan ucapan penutup, program ini telah berjaya melatih guru-guru Bahasa Melayu untuk melaksanakan pengajaran yang lebih berkesan melalui konsep penggunaan Majalah Dalam Kelas. Ini selaras dengan hasrat JPN dan KPM ke arah mentranformasikan kurikulum pendidikan menjadi lebih kreatif dan inovatif. Sementara itu, menurut seorang peserta bengkel Cikgu Ramali, dari SK Bahagia Kuala Krai, bengkel ini amat bermakna dan berkesan serta diharapkan dapat diteruskan pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa