Pelancaran Perhimpunan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat JPN Kelantan
25 Oktober 2009 - Unit Bahasa JPN Kelantan dengan kerjasama SMK Dato' Biji Wangsa, Tumpat telah mengadakan majlis pelancaran perhimpunan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 peringkat jabatan. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB Tn.Hj.Mohd Ghazali Abd.Rahman, Pengarah Pelajaran Kelantan. Majlis pelancaran BBK 2009 peringkat JPN yang berlangsung di Dewan SMK Dato' Biji Wangsa turut dihadiri oleh Hj.Mohd Adnan Mohd Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, En.Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa, En.Zakaria Awang Chik, Pegawai Pelajaran Daerah Tumpat dan Hjh.Fauziah Hj.Abd.Rahman, Pengetua SMK Dato' Biji Wangsa. Pengarah Pelajaran Kelantan dalam ucapan pelancaran BBK 2009, meminta semua pihak mengambil tanggungjawab bersama dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menurut beliau, pengamalan yang berterusan terhadap Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi dapat memperkasakan kembali kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama negara. Tambah beliau lagi, JPN Kelantan akan terus berusaha merencanakan program memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui aktiviti dan program di bawah Unit Bahasa. Selain ucapan perasmian pelancaran BBK 2009, majlis turut disulami dengan pembacaan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia serta persembahan daripada pelajar SMK Dato' Biji Wangsa.
No comments:
Post a Comment