Friday, 9 July 2010

Pendidikan: Kurikulum Baharu Tahun Depan

DALAM tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh, (RMK-10) kurikulum baharu untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan.

Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah tahun depan diikuti dengan kurikulum baharu untuk sekolah menengah.

Kurikulum berbentuk modular itu akan memberi peluang kepada semua pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Ia juga memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang boleh menyerlahkan potensi mereka.

Kurikulum itu akan menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran.
Berita selanjut boleh didapati melalui Utusan Malaysia Online (9/7/2010)

Tuesday, 6 July 2010

PROGRAM LINUS - PENGISIAN DATA SARINGAN 2

Semua Guru Besar perlu memastikan bahawa pengisian data bagi Saringan ke-2 Program LINUS melalui portal rasmi LINUS-NKRA bermula 12 hingga 23 Julai 2010. Guru Besar diminta memastikan data yang diisi oleh guru-guru penyelaras LINUS untuk Bahasa Melayu dan Matematik diisi dengan betul dan tepat. Kegagalan mengisi data Saringan 2 LINUS sudah pasti menjejaskan proses rumusan keseluruhan Saringan Progran LINUS. Salinan perlu dibuat setelah pengisian data Saringa ke-2 dilaksanakan sebagai bukti dokumentasi Program LINUS. Pengisian data Saringan 2 LINUS boleh dilakukan melalui laman sesawangan NKRA-LINUS Kementerian Pelajaran Malaysia: www.moe.gov.my/nkra

Saturday, 22 May 2010

PROGRAM LINUS: Saringan 2 bermula

Program LINUS (Literasi dan Numerasi) fasa ke-2 bermula untuk dilaksanakan Saringan ke-2. Semua sekolah dikehendaki melaksanakan saringan ke-2 kepada semua murid tahun 1 yang telah mengikuti Kelas LINUS. Pelaksanaan Saringan ke-2 dilakukan setelah saringan pertama selesai pada Mac 2010 yang lalu. Guru-guru diminta memastikan murid LINUS dapat mengikuti Saringan ke-2 ini sebagaimana tarikh yang telah ditetapkan:
Saringan Membaca : 1 hingga 31 Mei 2010
Saringan Menulis : 27 Mei hingga 6 Julai 2010

Saturday, 15 May 2010

SELAMAT HARI GURU, CIKGU !

AkademikBahasa mengucapkan SELAMAT HARI GURU, CIKGU! kepada semua GURU di seluruh negara. Semoga CIKGU semua terus dapat memberi sumbangan bakti yang tidak terbatas demi anak-anak generasi yang tercinta.
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA !

Wednesday, 12 May 2010

Majlis Perasmian Program Galakan Budaya Membaca 1Malaysia

Majlis Perasmian Program Galakan Budaya Membaca 1 Malaysia yang berlangsung pada 12 Mei 2010 telah berjaya disempurnakan oleh YBRs Haji Zahari Daud, Timbalan Pengarah Pelajaran Kelantan mewakili YABRs Pengarah Pelajaran Kelantan. Hadiri sama pada majlis perasmian tersebut ialah Tn.Haji Mohd Adnan Mohd Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPN Kelantan, Pn. Azizah Mat Yusoff, Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Tn.Haji Wan Suhaimi Wan Mustapha, Pengarah Perpustakaan Awam Kelantan, Pn.Hjh.Mazenah Mohamed, Ketua Penolong Pengarah BTPN Kelantan dan En.Mohd Hassany Hashim, KPP Bahasa Melayu JPN Kelantan.

Sunday, 25 April 2010

PROGRAM GALAKAN BUDAYA MEMBACA 1MALAYSIA

Unit Bahasa JPN Kelantan bersama BTPN Kelantan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia dan RTM Kelantan akan menganjurkan Program Galakan Budaya Membaca 1Malaysia pada 12 dan 13 Mei 2010, bertempat di BTPN Kelantan, Pengkalan Chepa. Majlis pelancaran dan perasmian akan disempurnakan oleh YABrs. Haji Hussain Awang, Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan pada 12 Mei 2010, jam 8.30 pagi.
Program ini diadakan bertujuan untuk menyemarak kembali budaya membaca dalam kalangan para pelajar dan masyarakat umum. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat kepada pentadbir sekolah dan guru-guru berhubung peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh mereka dalam usaha membudayakan tabiat membaca dalam kalangan pelajar di sekolah. Program ini secara tidak langsung menyokong usaha kerajaan dalam memupuk masyarakat berilmu khususnya untuk negara maju. Selaras itu juga, program ini turut berusaha untuk memupuk semangat budaya membaca rakyat Malaysia melalui konsep 1Malaysia. Antara pengisian program ini adalah:

1. Ceramah kepentingan buku dan budaya membaca
2. Ceramah oleh Ikon Membaca Malaysia
3. Pertandingan pidato, bercerita dan deklamasi sajak
4. Pameran buku dan bahan-bahan inovasi pembacaan
5. Rakaman Seloka Bersahut JPN & RTM Kelantan

Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan program murni ini demi melahirkan masyaraakat yang berilmu dan berkemahiran tinggi.
" MEMBACA BUDAYA 1MALAYSIA "

Pertandingan Menulis Cerita Pendek (Cerpen) Sempena Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2010

Unit Bahasa JPN Kelantan sekali lagi akan menganjurkan Pertandingan Menulis Cerita Pendek (Cerpen) sempena Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2010. Pertandingan kali ini bertemakan " Guru, Jasa mu Dikenang ". Syarat-syarat pertandingan adalah seperti berikut:
1. Terbuka kepada semua pelajar dan guru yang berdaftar di sekolah JPN Kelantan.
2. Penyertaan perlu dibuat melalui sekolah masing-masing.
3. Pertandingan dibahagikan kepada 4 kategori, iaitu :
i. Kategori Sekolah Rendah ( Tahun 4 hingga 6 )
ii. Kategori Sekolah Menengah Rendah ( Ting. 1 hingga 3 )
iii. Kategori Sekolah Menengah Atas ( Ting 4 hingga 6 Atas )
iv. Kategori Guru
4. Jumlah patah perkataan bagi setiap cerpen yang dihantar ialah mengikut kategori berikut:
i. Sekolah Rendah - 150 hingga 200 perkataan
ii. Sekolah Menengah Rendah - 200 hingga 300 perkataan
iii. Sekolah Menengah Atas - 300 hingga 500 perkataan
iv. Guru - 700 hingga 1000 perkataan
5. Setiap cerpen yang dihantar perlu ditaip mengikut huruf ARIAL dan saiz 12 serta ditaip langkau 2 baris (double spacing), menggunakan kertas A4. Cerpen yang dihantar tidak mengikut spesifikasi tersebut tidak akan dilayan dan dinilai.
6. Cerpen yang dihantar mestilah ASLI dan tidak diciplak daripada mana-mana karya lain. Sekiranya didapati cerpen tersebut diciplak, pemenangnya boleh dibatalkan.
7. Setiap keputusan penghakiman adalah muktamad.
8. Tarikh tutup penyertaan dan penghantaran sebelum 16 MEI 2010. Sebarang kelewatan penghantaran tidak akan dilayan. Cerpen yang telah siap perlu dihantar /datang sendiri ke alamat berikut:
UNIT BAHASA
JABATAN PELAJARAN NEGERI KELANTAN
15000 JALAN DOKTOR, KOTA BHARU
KELANTAN.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa