Thursday, 31 December 2015

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI 2016

Selamat menyambut tahun baru 2016. Semoga tahun 2016 ini memberi banyak kejayaan dan kesejahteraan kepada kita semua khususnya dalam usaha memartabatkan dan mendaulat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu utama di negara ini.

Untuk makluman Akademik Bahasa akan beroperasi kembali untuk tahun 2016 ini dan dalam masa ini blog ini dalam proses penyelenggaraan dan penambahbaikan.

DALAM PROSES PENYELENGGARAN DAN PENAMBAHBAIKAN

HARAP MAAF!!!

Wednesday, 17 April 2013

TAKLIMAT DASAR MBMMBI 2013 KEPADA GURU KANAN BAHASA

Taklimat Penyebaran Dasar MBMMBI kepada Guru Kanan Bahasa Sekolah Menengah JPN Kelantan telah diadakan pada 16 April 2013 bertempat di PPD Bachok. Guru-guru Kanan Bahasa yang terlibat adalah terdiri daripada Guru Kanan Bahasa PPD Bachok, PPD Kota Bharu, PPD Tumpat dan PPD Pasir Mas. Taklimat telah disampaikan oleh En.Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Jabatan Pelajaran Kelantan. Guru Kanan Bahasa boleh mendapatkan bahan taklimat melalui pautan berikut http://www.ziddu.com/download/22032630/TAKLIMAT_DASAR_DAN_PROGRAM_BAHASA_MELAYU_KPM.pptx.html atau melalui ruang MUAT TURUN.

Saturday, 13 October 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

PPPM 2013-2025 merupakan satu pelan jangka panjang pendidikan negara untuk membawa pendidikan negara setara dengan negara maju.

Tuesday, 17 April 2012

Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu Elektif peringkat BPK dan JPN


17-19 April. Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Unit Bahasa Melayu dan KMe antara pegawai BPK dan Pegawai Bahasa peringkat JPN telah diadakan pada 17-19 April 2012 bertempat di Hotel Vistana Kuala Lumpur. Mesyuarat telah dihadiri oleh En.Mohd Hassany Hashim, KPP Bahasa Melayu dan En.Hamdan Abd.Kadir, Pen.Pengarah Bahasa Melayu.Mesyuarat mempbincangkan pelaporan aktiviti peringkat JPN dan perancangan unit bahasa untuk tahun 2012. Mesyuarat dipengerusikan oleh Hajah Farizah Hanin, Ketua Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM.

Saturday, 3 March 2012

Dasar MBMMBI 2012: Melestarikan pemartabatan Bahasa Melayu

Selaras dengan ketetapan kerajaan untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Perkara 152, usaha kerajaan diperteguhkan lagi melalui pelaksanaan kursus-kursus profesionalisme guru-guru bahasa Melayu di bawah Dasar MBMMBI bagi tahun 2012. Program peningkatan profesionalisme guru-guru bahasa Melayu diteruskan melalui pelaksanaan kursus-kursus kendalian Kementerian Pelajaran Malaysia kepada jabatan pelajaran seluruh negeri. Kesungguhan KPM untuk melaksanakan dasar MBMMBI diterjemahkan melalui komitmen pelaksanaan kursus-kursus peningkatan profesionalisme pedagogi guru-guru bahasa Melayu. Guru-guru bahasa Melayu yang berminat untuk meningkatkan profesionalisme pedagogi di bilik darjah dijemput untuk memohon mengikuti kursus-kursus tersebut yang dikendalikan oleh jabatan pelajaran negeri masing-masing. Berikut adalah senarai kursus yang akan dilaksanakan untuk tahun 2012.

KURSUS PENINGKATAN PROFESIONALISME PEDAGOGI GURU BAHASA MELAYU BAGI GURU-GURU DI BAWAH KELOLAAN JABATAN PELAJARAN KELANTAN 

Monday, 2 January 2012

Hari Pertama persekolahan 2012

03.01.2012 adalah hari pertama persekolahan tahun 2012 bagi negeri Kelantan,Terengganu dan Kedah. Manakala negeri-negeri lain akan memulakan hari persekolahan pd 04.01.2012. Sesi persekolahan 2012 pasti membawa cabaran baru yang lebih mencabar dengan penerusan pelaksanaan dasar MBMMBI yg telah dimulai tahun 2011, sementara transformasi pendidikan melalui pelaksanaan KSSR memasuki fasa kedua dengan murid tahun 2 mula mengikuti kurikulum standard. Manakala program LINUS akan memasuki fasa akhir dan penting kerana tahun 2012 merupakan tahun sasaran KPI NKRA yang perlu dicapai 100% bagi murid kohort pertama bagi Tahun 1 pada tahun 2010. Bagi sesi persekolahan 2012 ini juga merupakan tahun permulaan pelakasanaan transformasi pendidikan vokasional melalui Pendidikan Aliran Vokasional. Semua ini sudah tentu memerlukan komitmen yang tidak sedikit daripada pelbagai pihak sama ada kepimpinan sekolah mahu pun guru-guru sebagai kumpulan pelaksana. Semoga cabaran yang bakal didepani sepanjang 2012 ini akan mematangkan kita semuua demi menjayakan isiv dan agenda da pendidikan negara demi masa depan anaak bangsa. SALAM HORMAT DARIPADA AKADEMIKBAHASA

Thursday, 15 December 2011

UPSR 2011: Kelantan mencatat keputusan terbaik dalam tempoh 8 tahun

Tahniah diucapkan kepada seluruh warga pendidik negeri Kelantan khususnya guru-guru sekolah rendah yang telah berjaya meletakkan JPN Kelantan pada kedudukan terbaik keseluruhannya dalam keputusan UPSR 2011. Berdasarkan keputusan UPSR 2011 yang telah diumumkan baru-baru ini, JPN Kelantan berjaya menduduki tempat kedua peringkat kebangsaan di belakang JPN Wilayah Persekutuan Putrajaya dari aspek pencapaian Gred Purata Negeri dan Kelulusan Minimum ABC. Pencapaian yang membanggakan ini merupakan hasil komitmen tinggi dan sokongan semua pihak sama ada pegawai jabatan, PPD, guru besar dan guru-guru seluruh negeri. Melalui perancangan yang baik, dan pelaksanaan program akademik yang dilaksanakan mengikut perancangan serta kesungguhan guru-guru, JPN Kelantan telah mampu memperolehi keputusan terbaik dalam tempoh 8 tahun. Antara perancangan dan program yang telah memberi impak besar terhadap keputusan UPSR 2011 ialah keprihatinan kepimpinan tertinggi jabatan, keseriusan pegawai melaksanakan tanggungjawab, pemantapan Program Headcount HC3 JPN (sejak tahun 2006), pelaksanaan pencerapan e-Cakna (sistem pencerapan dan pemantauan PdP), program bersama Guru Cemerlang, program perkongsian pintar bersama MGB dan NGO.

Info UPSR 2011 JPN Kelantan

Gred Purata Negeri : 2.09
Peratus Kelulusan ABC : 73.58%
Peratus Kecemerlangan A : 15.45%
Sekolah lulus 100% : 5 buah sekolah
(SK Kamil 3,Pasir Puteh; SK Bendang Pauh, & SK Chabang 3 Chetok,Pasir Mas, SRA Tengku Amalin Aishah, Kota Bharu, dan SK Biak, Kuala Krai.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa