Saturday, 30 July 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

AKADEMIKBAHASA INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK DAN SEMOGA KITA DAPAT MENJALANI IBADAH PUASA DENGAN SEMPURNA DAN MENDAPAT KERAHMATAN ILAHI.

Tuesday, 19 July 2011

SELAMAT BERSARA TUAN KSPA

19 JULAI 2011 merupakan satu tarikh yang mengharukan kepada warga Sektor Pengurusan Akademik JPN Kelantan kerana telah 'kehilangan' seorang ketua yang cukup dedikasi dan amat memahami. Tuan Haji Mohd Adnan bin Mohd Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik telah menamatkan perkhidmatannya dengan bersara wajib 58 tahun. SELAMAT BERSARA TUAN KETUA SEKTOR PENGURUSAN AKADEMIK!

Monday, 11 July 2011

SAHIBBA TINGKATKAN KOSA KATA - Utusan Malaysia (12/07/2011)

KOTA BHARU 11 Julai – Perbendaharaan kata adalah kunci kepada penguasaan bahasa yang baik sama ada kepada seorang penulis, pelajar dan hampir kesemua profesion yang menuntut pembinaan karangan dalam tugas seharian mereka.Tanpa kosa kata yang sesuai, seseorang tidak akan dapat menyalurkan maklumat yang ingin disampaikan dengan tepat, malah pihak menerima informasi mungkin juga akan salah faham.Secara umumnya, kita mengetahui usaha telah dilakukan pihak berwajib sejak dari peringkat awal lagi melalui pengajaran dan pembelajaran formal dalam kelas di sekolah bagi memastikan generasi muda mempunyai perbendaharaan kata yang tinggi.Konsep ‘bersahabat’ dengan kamus mungkin antara perkara yang diterapkan bagi membantu pelajar menguasai ribuan perbendaharaan kata, namun ia juga perlu disokong dengan sesuatu rangsangan yang boleh mendorong minat mereka untuk mula membuka kamus.
Menyedari hakikat itu, mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah menganjurkan Pertandingan Sahibba Sekolah Menengah dan Rendah peringkat kebangsaan bertujuan meningkatkan bilangan dan penggunaan kosa kata dalam bahasa Melayu di kalangan pelajar.Sejak Jun lalu, pertandingan Sahibba peringkat daerah dan negeri giat diadakan bagi memilih wakil masing-masing ke pertandingan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, Oktober depan.Permainan Sahibba adalah permainan papan membentuk perkataan bahasa Melayu berdasarkan permainan popular Scrabble yang berasal dari Amerika Syarikat (AS). Dalam permainan yang disertai sekurang-kurangnya dua pemain ini, mereka dikehendaki membina perkataan sama ada secara melintang atau menegak di atas papan menggunakan kepingan jubin yang diambil secara rawak dari uncang disediakan. Sahibba diperkenalkan pada 1976 oleh seorang guru dari Perak, Ting Sie Bing yang mengambil masa selama empat tahun melakukan kajian tentang permainan Scrabble sebelum mengadaptasinya ke versi bahasa Melayu.
Ketua Penolong Pengarah Bahasa Unit Bahasa Melayu Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd. Hassany Hashim berkata, permainan Sahibba berbeza dengan Scrabble kerana pembinaan perkataan bahasa Melayu menggunakan huruf vokal yang lebih banyak berbanding bahasa Inggeris. (Utusan Malaysia 12/07/2011)

Saturday, 9 July 2011

Pertandingan SAHIBBA Peringkat Negeri Kelantan 2011

Mohd Hassany Hashim menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang



4 Julai 2011 - Unit Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Kelantan dan Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Syarikat Permainan Malaysia telah berjaya menganjurkan Pertandingan SAHIBBA Peringkat Negeri Kelantan bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah. Pertandingan ini adalah sebahagian aktiviti awal bagi mengisi program Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 yang akan dilangsungkan bulan Oktober nanti. Pertandingan ini juga merupakan aktiviti tambahan di bawah Program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sekarang. Pertandingan Sahibba ini bertujuan untuk membina daya kreativiti di kalangan pelajar dalam aspek kosa kata selain memperkayakan kosa kata pelajar. Melalui pertandingan seumpama ini, pelajar dapat memupuk minda kreatif di dalam membina kosa kata bahasa Melayu dan seterusnya dapat memperkayakan perbendaharaan kata mereka. Ini secara tidak langsung dapat membina keyakinan pelajar untuk menggunakan bahasa Melayu standard di dalam percakapan harian mereka.

Menurut Mohd Hassany Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu JPN Kelantan di dalam ucapan perasmian penutup pertandingan tersebut, "permainan SAHIBBA boleh dijadikan sebahagian alat pembelajaran yang berkesan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu kalangan pelajar kerana melalui permainan Sahibba, guru-guru dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan menghibur. Ini amat bertepatan dengan salah satu strategi di dalam MBM iaitu konsep didik hibur di dalam pengajaran guru di bilik darjah". Beliau mencadangkan guru-guru bahasa Melayu supaya menjadikan permainan sahibba sebagai salah satu kaedah pengajaran berkonsepkan didik hibur di bilik darjah. Menurut beliau lagi, pihak jabatan akan berusaha menjadikan pertandingan Sahibba sebagai program tahunan Unit Bahasa Melayu jabatan agar matlamat kerajaan meningkatkan penguasaan pelajar di dalam penggunaan bahasa Melayu standard berjaya.

Di dalam pertandingan tersebut, pelajar Nasrul Airie Azahar, 15 dan Qistina Iwani Mukhtar dari SMK Dato, Mahmud Paduka Raja 2 Tanah Merah berjaya mendapat tempat pertama dan naib juara bagi kategori sekolah menengah, mana kala Luqman Hakim Kamaruden, dari SMK Bachok mendapat tempat ke-3. Sementara bagi kategori sekolah rendah, Nur Anina Nazirah Mohd Noor Yusmadi, 12 dari SK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas mendapat tempat pertama, Naimi Syahira Mohamad dari SK Kamil 2 Pasir Puteh dan Siti Jamilah Hafizi dari SK Padang Garong 1 Kota Bharu masing-masing mendapat tempat ke-2 dan ke-3. Mereka semua akan mewakili negeri Kelantan ke Pertandingan SAHIBBA peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Oktober sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.