23 Mac 2011: Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2010 telah diadakan di Bilik Gerakan Jabatan Pelajaran Kelantan bermula jam 9.00 pagi. Pengumuman rasmi peringkat negeri telah dilakukan oleh YABrs Tuan Haji Hussain Awang, Pengarah Pelajaran Kelantan yang turut dihadiri bersama pegawai-pegawai di jabatan dan PPD. JPN Kelantan sekali lagi telah membuktikan komitmen dalam mencapai matlamat menjadikan pendidikan Kelantan bagi tahun 2010 cemerlang melalui pencapaian peperiksaan awam utama. Setelah berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan STPM, pencapaian SPM 2010 juga turut mencatatkan keputusan yang sama. Secara keseluruhannya SPM 2010 telah menunjukkan prestasi yang membanggakan. Menurut Pengarah Pelajaran Kelantan, pencapaian ini merupakan usaha bersama semua pihak sama ada di peringkat JPN, PPD, sekolah, guru-guru, pelajar, dan ibu bapa. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media yang turut sama dalam memberi sokongan kepada jabatan dan sekolah berkaitan bidang pendidikan.
Info SPM 2010
Calon Sekolah Bantuan Kerajaan - 28, 323 orang
Sekolah - 139
Gred Purata Negeri - 5.15 (meningkat 0.11)
Peratus calon layak mendapat sijil (berdasar kelulusan BM) - 93.73%
Sekolah lulus 100% - 22 buah
Calon cemerlang A - 278 orang ( 0.98% )
Wednesday, 23 March 2011
Tuesday, 15 March 2011
Komitmen kerajaan menjayakan Dasar MBMMBI
Sejak mula diumumkan pada 8 Julai 2009, kerajaan mempunyai komitmen yang tinggi dalam menjayakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kesungguhan dan keseriusan kerajaan melaksanakan dasar MBMMBI bagi menggantikan dasar PPSMI diperlihatkan melalui pelbagai pelaksanaan program yang meliputi semua peringkat. Malahan kesungguhan itu diterjemahkan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Bahasa Kebangsaan yang diluluskan oleh Jemaah Kabinet. Kementerian Pelajaran Malaysia telah dipertangggungjawabkan sebagai kementerian utama menggerakkan dasar MBMMBI ini di samping Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan, Kesenian dan Komunikasi. Komitmen tinggi kerajaan diterjemahkan melalui kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran bahawa kerajaan amat prihatin dan serius bagi menjayakan dasar MBMMBI dan ia tidak boleh gagal.