Thursday 23 September 2010

Aktiviti sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010

Bulan Oktober telah diisytiharkan sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai 2009. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 ini bertemakan "1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara" selaras dengan konsep 1 Malaysia. Pelancaran BBK 2010 peringkat kebangsaan akan berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh Perak pada 5 Oktober yang dijangka akan dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia.
Unit Bahasa Jabatan Pelajaran Kelantan turut terlibat dalam menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaa 2010 peringkat Kelantan yang akan diadakan pada 18 Oktober 2010, bertempat di Balai Islam, Lundang. Selain itu, Unit Bahasa JPN Kelantan dijangka melancarkan sambutan BBK 2010 peringkat sekolah-sekolah Kelantan pada 17 Oktober 2010. Pelancaran dijangka disempurnakan oleh YABrs Pengarah Pelajaran Kelantan.
Sepanjang sambutan BBK 2010, Unit Bahasa JPN Kelantan akan mengadakan beberapa aktiviti bagi memeriahkan sambutan BBK, antara aktiviti yang akan diadakan ialah:
- Pertandingan Pengisahan Tokoh BBK 2010
- Sayembara Deklamasi Puisi BBK 2010
- Perhimpunan Mingguan BBK 2010 sekolah seluruh negeri

KURSUS PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU BAHASA MELAYU JPN KELANTAN

Unit Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Kelantan akan menganjurkan Bengkel Peningkatan Pengajaran Komsas Teks Baharu Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 kepada guru-guru Bahasa Melayu. Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan pedagogi berkesan pengajaran Komsas Teks Baharu yang telah diperkenalkan mulai 2010.

Bengkel Komsas Teks Baharu Guru-guru Tingkatan 1
Tarikh : 26 September 2010
Masa : 8.00 pagi - 2.00 petang
Tempat : Bilik Seminar Bestari, BTPN Kelantan

Bengkel Komsas Teks Baharu Guru-guru Tingkatan 4
Tarikh : 27 September 2010
Masa : 8.00 pagi - 2.00 petang
Tempat : Bilik Seminar Bestari, BTPN Kelantan

Semua guru berkenaan diwajibkan hadir.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa