Sunday 28 February 2010

Majlis Baca Puisi Sehari 1Malaysia

Satu Majlis Baca Puisi Sehari 1Malaysia diadakan pada 5 Mac 2010 bertempat di Pantai Sri Tujuh, Tumpat. Majlis anjuran Persatuan Penulis Tumpat (PERSISIR) bersama gabungan persatuan penulis Kelantan yang lain. Unit Bahasa JPN Kelantan turut dijemput untuk mendeklamasikan sajak sempena majlis berkenaan sebagai mewakili Jabatan Pelajaran Kelantan. Sesiapa yang berminat untuk turut serta memeriah dan ingin membaca puisi di majlis berkenaan boleh ke Pantai Sri Tujuh, Tumpat mulai jam 9.00 pagi (5/3/2010) hingga 8.00 pagi (6/3/2010). Sekali-sekala melangirkan diri ke arena puisi pasti menggetarkan nurani yang sudah lama kegersangan dengan bait-bait seni kata puitis....

Saturday 20 February 2010

Teks Baharu Komsas Tingkatan 1 dan Tingkatan 4

Mulai 2010, semua pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 akan mula menggunakan teks baharu Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS) yang akan menggantikan teks sebelum ini yang telah digunapakai sejak tahun 2005. Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM telah memilih hasil karya tertentu yang ditulis oleh penulis prolifik tanah air bagi menggantikan teks berkenaan. Sebanyak 5 genre sastera telah dipilih yang melibatkan novel, antologi cerpen, puisi dan prosa moden, serta puisi dan prosa tadisional. Berikut ialah genre sastera yang telah dipilih untuk teks baharu Komsas berkenaan:
Tingkatan 1

1. Bukan Duniaku - (novel) - karya Aida Shahira
2. Kasut Kelopak Jantung (antologi)
Tingkatan 4

1. Renyah (novel) - karya Gunawan Mahmood
2. Harga Remaja (antologi)






Friday 19 February 2010

14 FEBUARI - Tarikh Keramat Perlu diingati

14 Februari merupakan tarikh keramat yang perlu diingati dan dihayati. Tetapi bukan mengingati atau menghayati Hari Kekasih (Valentine Day), bukan ! dan bukan ! Tarikh keramat tersebut ialah Hari Pejuang Bahasa 152.
Peristiwa Perarakan Keranda 152 pada 3 Mac 1967 merupakan peristiwa bersejarah tanah air khusus kepada para pejuang Bahasa Melayu dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu di tanah air pada masa itu. Pada tarikh itu juga Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr.Usman Awang, melahirkan sebuah sajak yang cukup sinonim dengan semangat perjuangan Bahasa Melayu iaitu sajak Keranda 152.
Ayuh, kita semarakkan kembali semangat pejuang bahasa terdahulu tanpa api prejudis dan simbahan 'minyak' politik melulu. Kita semarakkan semangat perjuangan dengan ilmu rasional dan akal minda yang terbuka! Singkirkan di dalam arus perjuangan kita politik melulu dan chauvanis perkauman dalam menegak obor-obor perjuangan Bahasa Melayu tercinta.

Kita tidak akan menjadi semalu yang tersipu andainya kita berjuang dengan akal minda yang terbuka dan rasional! Maruah tidak akan tercalar andai kita bersilat di gelanggang juang dengan ilmu yang waras tanpa amarah yang membuta!

Bank Dunia: Lakukan Reformasi Pendidikan

PUTRAJAYA 19 Feb. - Laporan Bank Dunia menyarankan Malaysia melaksanakan proses reformasi dalam bidang pendidikan bagi memenuhi hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan itu menekankan tentang betapa perlunya proses tersebut dilakukan termasuk di peringkat pendidikan rendah dan menengah.

Justeru, kata beliau, kerajaan mengambil maklum tentang saranan itu yang melibatkan pembangunan sumber tenaga mahir di negara ini.

Wednesday 17 February 2010

Pembetulan tarikh Kursus KOMSAS Tkn.1 dan Tkn.4

Pembetulan tarikh Kursus Modul Pengajaran KOMSAS Ting.1 dan Ting.4 untuk guru-guru Bahasa Melayu sekolah menengah:

Tingkatan 1 - 22 & 23 FEBRUARI 2010
Tingkatan 4 - 23 & 24 FEBRUARI 2010
Tempat dan masa tidak berubah. Mana-mana sekolah yang masih belum menerima surat panggilan kursus berkenaan di minta menghubungi Unit Bahasa, JPN segera.

Monday 8 February 2010

Kursus Modul Pengajaran Teks Baharu Komsas Tkn 1 & 4

Unit Bahasa JPN Kelantan akan mengadakan Kursus Modul Pengajaran Teks Baharu KOMSAS Tingkatan 1 dan 4 kepada guru-guru Bahasa Melayu sekolah menengah Kelantan. Kursus berkenaan akan diadakan pada 22 - 23/2/2010 untuk Tingkatan 1, manakala 24 - 25/2/2010 untuk Tingkatan 4. Kursus diadakan di BTPN Kelantan, dan akan dikendalikan oleh Jurulatih Utama Komsas Negeri yang terdiri daripada Guru Cemerlang BM. Untuk kursus tersebut, para peserta diminta membawa bersama buku teks Komsas Tingkatan 1 dan 4 serta modul pengajaran teks berkenaan. Surat panggilan kursus kepada guru-guru Tingkatan 1 dan 4 telah diedarkan mulai 2/2/2010 yang lalu. Sekolah yang masih belum menerima surat panggilan kursus tersebut diminta menghubungi Unit Bahasa JPN Kelantan di talian 09-7418365 dengan kadar yang segera.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa