Thursday 28 January 2010

PM melancarkan Program Transformasi Kerajaan

28 Januari 2010 - YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan secara rasminya PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN - Pelan Hala Tuju. Program ini merupakan satu pelan yang meletakkan gagasan besar kerajaan dalam mencapai status negara maju 2020 selaras Wawasan 2020 yang telah dicetuskan oleh YBhg. Tun Dr.Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri ke-4.
Pelancaran Program Transformasi Kerajaan ini merupakan agenda besar kerajaan dengan penuh rasa ketanggungjawaban dan keikhlasan yang tinggi kerajaan terhadap nasib dan masa depan rakyat menjelang 2020. Menurut YAB Perdana Menteri sewaktu merasmikan program tersebut:
"Sebagai kerajaan yang telus dengan berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban kita tidak akan berhenti daripada melakukan perubahan ini selagi rakyat tidak merasai, menyentuh dan mengalaminya sendiri".
"Namun usaha ini sudah pasti akan dinilai oleh rakyat sama ada kita benar-benar menunaikan janji atau sebaliknya. Ada risikonya dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita redha ditentukan oleh rakyat apabila tiba masanya".

Program Transformasi Kerajaan ini turut merangkumi 6 NKRA utama kerajaan yang perlu dicapai dalam memenuhi aspirasi kerajaan membela nasib rakyat Malaysia selaras konsep 1Malaysia. Salah satu daripada 6 NKRA tersebut turut melibatkan bidang pendidikan negara iaitu "Meluaskan akses pendidikan yang berkualiti".

Program Transformasi Kerajaan - Bidang Pendidikan (ututsan online)


Sunday 24 January 2010

Kursus Guru-Guru Bahasa Melayu Program LINUS berjalan lancar

Bermula 17 hingga 19 Januari 2010, dua siri Kursus Guru-Guru Bahasa Melayu Program LINUS 2010 telah berjaya dilaksanakan. Dua PPD yang terlibat di dalam siri kursus tersebut, iaitu PPD Kota Bharu yang diadakan di Permai Inn, Terengganu. Seramai 96 orang guru-guru Bahasa Melayu seluruh PPD Kota Bharu telah mengikuti kursus tersebut yang dikendalikan oleh 5 orang Jurulatih Utama LINUS PPD. Pegawai urusetia yang terlibat ialah En.Ariff Normin Hussien, Pegawai Bahasa PPD Kota Bharu.

Sementara kursus bagi guru-guru PPD Bachok dan Pasir Puteh diadakan di Kesedar Inn, Gua Musang. Seramai 80 orang guru-guru daripada kedua-dua PPD berkenaan bergabung dalam kursus tersebut. Kursus berkenaan telah dikendalikan oleh 4 orang Jurulatih Utama LINUS PPD masing-masing. Pegawai urusetia kursus berkenaan ialah En.Shahrir Muhammad, Pegawai Bahasa PPD Pasir Puteh, dan Pn.Soo Ah Khem, Pegawai Bahasa PPD Bachok.

Saturday 16 January 2010

Rencana Menarik: Pelajar Rindu Pujian Guru

Oleh ANUAR AHMAD

Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.

Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Tuesday 12 January 2010

LINUS - Rencana Menarik Utk Dikongsi Bersama

Susah belajar kerana penyakit


" Masalah pembelajaran adalah masalah yang berpanjangan sepanjang hidup seseorang. Walaubagaimanapun dengan adanya intervensi awal, nasib kanak-kanak ini boleh diubah."
--------------------------------------------------------------------------------

ANAK anda dilabel lembap dan lemah dalam pelajaran. Mereka diletakkan di kelas terakhir atau dalam kelas pemulihan. Guru-guru cuba mengajar mereka sebaik mungkin, namun akhirnya guru-guru pula kecewa. Hari ini diajar, esok sudah lupa. Ibu bapa dipanggil dan berbincang.

Persepsi guru, kanak-kanak ini tidak belajar di rumah dan kurang pemantauan daripada ibu bapa. Manakala persepsi ibu bapa pula guru-guru tidak memberi perhatian kepada anak mereka. Adakalanya berlaku perselisihan faham antara guru-guru dan ibu bapa yang menyebabkan ibu bapa berkecil hati dan minta bertukar sekolah. Guru-guru pula menilai kembali teknik pengajaran mereka mencari di mana silap mereka, teknik diperbaharui tetapi kanak-kanak ini tidak juga menampakkan perubahan. Masih tidak dapat membaca dan menulis seperti yang sepatutnya bersesuaian dengan usia mereka. Akhirnya guru-guru meminta pelajar ini di bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Persoalannya, ke mana harus dibawa pelajar ini sedangkan mereka tidak mengadu sebarang sakit fizikal. Mungkin masalah mata dan telinga, maka mereka pun diperiksa oleh doktor yang mengesahkan pelajar ini adalah sihat dan tidak ada sebarang masalah.

Saturday 9 January 2010

Agenda Pendidikan Pengarah Pelajaran Kelantan untuk 2010

Yang Amat Berusaha Tn.Hj. Mohd Ghazali bin Abd.Rahman, Pengarah Pelajaran Kelantan sewaktu membentangkan agenda pendidikan negeri bagi tahun 2010 telah menggariskan 6 fokus utama yang akan menjadi hala tuju kepada warga kerja Jabatan Pelajaran Kelantan di dalam memastikan kecemerlangan pendidikan Kelantan terus dijulang. 6 fokus tersebut ialah :
1. Menggerakkan 3M (Menulis, Membaca, Mengira) melalui Program LINUS - dimana 2 sektor utama yang ditugaskan menerajui program tersebut ialah Sektor Pendidikan Khas dan Swasta, dan Sektor Pengurusan Akademik;
2. Orientasi Kepimpinan Pengetua dan Guru Besar - dimana Sektor Jaminan Kualiti dipertanggungjawabkan menerajui fokus tersebut;
3. Latihan Kepimpinan dan Pengurusan kepada Pegawai di JPN/PPD - dimana Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan diberi amanah;
4. Memperkasakan pedagogi Pengajaran & Pembelajaran guru di bilik darjah - fokus ini diberikan kepada Sektor Pengurusan Akademik untuk memastikan matlamat P&P dicapai;
5. Kecemerlangan Peperiksaan Awam utama, iaitu
i. UPSR - Sektor Pengurusan Sekolah (Pengawai Penyelaras - En.Mohd Hassany Hashim)
ii. PMR - Sektor Jaminan Kualiti (Pegawai Penyelaras - En.Mohd Nasir Mohd Noor)
iii. SPM - Sektor Penilaian dan Peperiksaan (Pegawai Penyelaras - Hj.Hilmi Abdullah)
iv. STPM - Sektor Pengurusan Akademik (Pegawai Penyelaras - Hjh.Wan Shuraya Ariffin)
6. Pemantapan Disiplin Pelajar - diterajui oleh Sektor Pembangunan Kemanusiaan.

Selain itu, YAB Tuan Pengarah Pelajaran Kelantan juga telah membentuk 4 Jawatankuasa Bertindak Memperkasakan 4 kategori sekolah, iaitu :
1. Jawatankuasa Memperkasakan Sekolah Orang Asli
2. Jawatankuasa Memperkasakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina/Tamil
3. Jawatankuasa Memperkasakan Sekolah Rancangan Khas/Kelas Rancangan Khas
4. Jawatankuasa Memperkasakan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Semoga dengan 6 fokus utama dan pembentukan jawatankuasa berkenaan dapat mengangkat kecemerlangan pendidikan Kelantan pada tahun 2010 ke arah yang lebih gemilang, selaras dengan visi "Cakna Pendidikan Kelantan Tersohor 2010".

Friday 8 January 2010

Program Khas LINUS : TPM Tan Sri Muhyiddin

PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, semua murid Tahun Satu akan menjalani ujian khusus selepas dua bulan memulakan persekolahan bagi menguji tahap penguasaan dalam menulis, membaca dan mengira (3M) selaras dengan pelaksanaan program Literasi dan Numerasi (Linus).
Menerusi ujian itu, murid yang dikenal pasti lembap dalam pembelajaran akan dimasukkan ke kelas pemulihan, manakala yang mengalami kecacatan fizikal seperti masalah telinga atau mata ditempatkan di kelas pendidikan khas di sekolah sama.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu adalah antara empat inisiatif sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memperkukuhkan tahap literasi murid sekolah rendah daripada 87 peratus tahun lalu kepada 90 peratus tahun ini.
Tiga lagi sasaran awal empat sub NKRA ialah meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi dan merangka insentif berbentuk kewangan serta bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah.
Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata program Linus akan disokong dengan penempatan guru terbaik untuk mengajar murid Tahun Satu, selain menambah guru pemulihan pada nisbah satu guru bagi 15 murid berbanding satu guru untuk satu sekolah sekarang.

"Penambahan guru ini akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran menulis, mengira dan membaca," katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga kementeriannya di sini semalam, yang turut disiarkan secara langsung menerusi RTM, TV3, Astro Awani dan Eduweb.

selanjutnya...Berita Harian Online 8/1/2010

Thursday 7 January 2010

Nisbah 1:15 - Guru Pemulihan sekolah rendah

PUTRAJAYA 7 Jan. – Kementerian Pelajaran akan menambah bilangan guru pemulihan di sekolah rendah daripada seorang bagi setiap sekolah ketika ini kepada nisbah 1:15 berbanding murid pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membolehkan lebih tumpuan kepada murid yang lemah dalam membaca, menulis dan mengira (3M).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian akan menempatkan guru-guru terbaik mengajar murid-murid tahun satu di bawah program Literasi dan Numerasi (LINUS) mulai sesi persekolahan tahun ini.

“Dalam masa dua bulan ini, kita akan buat satu ujian di setiap bilik darjah bagi mengenal pasti murid yang lemah penguasaan dalam 3M.

“Kita akan buat ujian-ujian tertentu yang sesuai untuk memperbaiki keadaan supaya mereka dapat menguasai 3M dalam tempoh tiga tahun mereka bersekolah,” katanya.

Pada masa ini, kadar literasi di sekolah rendah adalah 87 peratus dan sasaran tahun ini menumpukan peningkatan tiga peratus iaitu kepada 90 peratus.

Muhyiddin berkata, program LINUS itu salah satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang akan diberi tumpuan khas oleh kementerian tahun ini.

Wednesday 6 January 2010

Nostalgia 36 Tahun - Pemantauan Hari Pertama Persekolahan 2010 - SK Manek Urai

3 Jan 2010 - Pemantauan hari pertama persekolahan sesi 2010 mengembalikan nostalgia 36 tahun yang lalu. Kalau 36 tahun dulu, hari pertama persekolahan sesi 1974 masuk ke SK Manek Urai sebagai murid tahun 1, tapi hari ini selepas 36 tahun kemudian memasuki SK Manek Urai tepat jam 7.50 pagi sebagai pemantau dari JPN untuk hari pertama persekolahan 2010. Perasaan bercampur baur antara bangga dan gembira! SK Manek Urai sudah jauh berubah, daripada bangunan sekolah berdindingkan kayu dan lantai berlapikkan tanah asli, cukup mengembalikan nostalgia lama. Hari ini SK Manek Urai telah berubah wajah 100%, bangunan 4 tingkat tersergam indah untuk anak-anak Manek Urai meraih kejayaan mereka. Tahniah kepada warga SK Manek Urai yang telah berusaha gigih memastikan perjalanan persekolahan hari pertama tahun 2010 berjalan lancar. Pengurusan kurikulumnya baik dan proses P&P berjalan lancar sebagaimana yang ditetapkan oleh JPN dan KPM. Kepada cikgu-cikgu, teruskan usaha murni anda demi kejayaan anak generasi Manek Urai, walaupun cikgu bukan anak tempatan MU. Namun yang pasti anak-anak MU memerlukan pengorbanan dan perjuangan suci Cikgu!

Saturday 2 January 2010

Cabaran Menanti Tahun 2010

Tahun 2010 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran bagi Unit Bahasa Melayu JPN Kelantan dalam memastikan matlamat dan agenda pendidikan negeri dan negara tercapai. Cabaran mencapai sasaran NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia dan memenuhi KPI KPPM memerlukan usaha dan komitmen yang bukan sedikit daripada setiap warga pendidikan khususnya para guru dan pegawai bahasa. Empat cabaran utama NKRA (National Key Result Area) atau Bidang Keberhasilan Utama Kebangsaan, ialah:
1. Pencapaian sasaran 20% pendidikan Prasekolah untuk kanak-kanak yang berusia 5 tahun menjelang 2012;
2. Pencapaian sasaran 100% murid tahun 1 (2010) yang tidak mempunyai masalah pembelajaran dapat menguasai kemahiran asas Literasi dan Numerasi pada tahun 2013 melalui Program LINUS;
3. Pencapaian sasaran 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT); dan
4. Perjanjian baru (Bai'ah) dengan Pengetua dan Guru Besar.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa