Friday 2 April 2010

Tuan Haji Hussain Awang, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan yang baru. Tahniah!

Tahniah diucapkan kepada Tn.Haji Hussain Awang, Pengarah Pelajaran Kelantan yang baru dilantik memegang jawatan tersebut pada 1 April 2010 bagi menggantikan Dato' Hj.Mohd Ghazali Ab.Rahman, Mantan Pengarah Pelajaran Kelantan yang bertukar ke Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya. Pelantikan Tn.Hj.Hussain Awang sebagai Pengarah Pelajaran Kelantan yang baru juga diibaratkan 'sirih pulang ke gagang' kerana sebelum ini beliau merupakan mantan Ketua Sektor Jaminan Kualiti, JPN Kelantan sebelum bertukar ke Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai Timbalan Pengarah Dasar, Bahagian Pengurusan Sekolah KPM. Sebagai seorang bekas pendidik, pengetua, pegawai pelajaran daerah dan terakhir ketua sektor di JPN Kelantan, beliau diyakini mampu membawa kecemerlangan yang lebih melonjak untuk pendidikan negeri Kelantan.


Tn. Hj. Hussain Awang yang terkenal sebagai seorang yang gigih bekerja dan mesra dengan semua orang, namum mempunyai ketegasan yang tersendiri sememangnya layak memimpin warga pendidikan seluruh Kelantan bagi mencapai kecemerlangan yang telah diteruskan oleh Mantan Pengarah Pelajaran Kelantan sebelum ini. Sebelum itu, dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Tugas baru-baru ini, beliau meminta semua warga pendidikan JPN Kelantan, PPD, pentadbir sekolah dan guru-guru agar memberi kerjasama yang padu kepada beliau dan bersama-sama memberi komitmen tinggi bagi menjayakan agenda pendidikan negeri Kelantan.

Apa tanda si batang tebu
Batang tebu halus uratnya
Apa tanda orang berilmu
Orang berilmu tinggi budinya

Selain itu, ucapan tahniah juga disampaikan kepada YBhg Dato' Hj.Mohd Ghazali Ab. Rahman, mantan Pengarah Pelajaran yang telah dianugerahkan Pingat Darjah Setia Mahkota yang membawa gelaran Dato' oleh YTM Pemangku Sultan Kelantan sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Kelantan baru-baru ini. Sesungguhnya dengan penganugerahan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja kepada Dato' Hj.Mohd Ghazali Ab Rahman, tetapi turut dikongsi bersama oleh seluruh warga pendidikan negeri Kelantan. Penganugerahan itu juga sebagai satu pengikhtirafan kepada beliau yang telah banyak menyumbang bakti dan jasa menaikkan kecemerlangan pendidikan negeri Kelantan.


"Akar keladi melilit selasih,
selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman.


No comments:

Post a Comment

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa