Unit Bahasa JPN Kelantan bersama BTPN Kelantan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia dan RTM Kelantan akan menganjurkan Program Galakan Budaya Membaca 1Malaysia pada 12 dan 13 Mei 2010, bertempat di BTPN Kelantan, Pengkalan Chepa. Majlis pelancaran dan perasmian akan disempurnakan oleh YABrs. Haji Hussain Awang, Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan pada 12 Mei 2010, jam 8.30 pagi.
Program ini diadakan bertujuan untuk menyemarak kembali budaya membaca dalam kalangan para pelajar dan masyarakat umum. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat kepada pentadbir sekolah dan guru-guru berhubung peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh mereka dalam usaha membudayakan tabiat membaca dalam kalangan pelajar di sekolah. Program ini secara tidak langsung menyokong usaha kerajaan dalam memupuk masyarakat berilmu khususnya untuk negara maju. Selaras itu juga, program ini turut berusaha untuk memupuk semangat budaya membaca rakyat Malaysia melalui konsep 1Malaysia. Antara pengisian program ini adalah:
1. Ceramah kepentingan buku dan budaya membaca
2. Ceramah oleh Ikon Membaca Malaysia
3. Pertandingan pidato, bercerita dan deklamasi sajak
4. Pameran buku dan bahan-bahan inovasi pembacaan
5. Rakaman Seloka Bersahut JPN & RTM Kelantan
Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan program murni ini demi melahirkan masyaraakat yang berilmu dan berkemahiran tinggi.
" MEMBACA BUDAYA 1MALAYSIA "
Sunday, 25 April 2010
Pertandingan Menulis Cerita Pendek (Cerpen) Sempena Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2010
Unit Bahasa JPN Kelantan sekali lagi akan menganjurkan Pertandingan Menulis Cerita Pendek (Cerpen) sempena Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2010. Pertandingan kali ini bertemakan " Guru, Jasa mu Dikenang ". Syarat-syarat pertandingan adalah seperti berikut:
1. Terbuka kepada semua pelajar dan guru yang berdaftar di sekolah JPN Kelantan.
2. Penyertaan perlu dibuat melalui sekolah masing-masing.
3. Pertandingan dibahagikan kepada 4 kategori, iaitu :
i. Kategori Sekolah Rendah ( Tahun 4 hingga 6 )
ii. Kategori Sekolah Menengah Rendah ( Ting. 1 hingga 3 )
iii. Kategori Sekolah Menengah Atas ( Ting 4 hingga 6 Atas )
iv. Kategori Guru
4. Jumlah patah perkataan bagi setiap cerpen yang dihantar ialah mengikut kategori berikut:
i. Sekolah Rendah - 150 hingga 200 perkataan
ii. Sekolah Menengah Rendah - 200 hingga 300 perkataan
iii. Sekolah Menengah Atas - 300 hingga 500 perkataan
iv. Guru - 700 hingga 1000 perkataan
5. Setiap cerpen yang dihantar perlu ditaip mengikut huruf ARIAL dan saiz 12 serta ditaip langkau 2 baris (double spacing), menggunakan kertas A4. Cerpen yang dihantar tidak mengikut spesifikasi tersebut tidak akan dilayan dan dinilai.
6. Cerpen yang dihantar mestilah ASLI dan tidak diciplak daripada mana-mana karya lain. Sekiranya didapati cerpen tersebut diciplak, pemenangnya boleh dibatalkan.
7. Setiap keputusan penghakiman adalah muktamad.
8. Tarikh tutup penyertaan dan penghantaran sebelum 16 MEI 2010. Sebarang kelewatan penghantaran tidak akan dilayan. Cerpen yang telah siap perlu dihantar /datang sendiri ke alamat berikut:
UNIT BAHASA
JABATAN PELAJARAN NEGERI KELANTAN
15000 JALAN DOKTOR, KOTA BHARU
KELANTAN.
Tuesday, 20 April 2010
Program MBM : Kursus MBM-KPKI Bersama IPG Kampus Kota Bharu
Unit Bahasa JPN Kelantan sedang melaksanakan siri kursus Bahasa Melayu di bawah program Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) melalui Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI) bersama-sama IPG Kota Bharu. Sebanyak 8 siri kursus akan dilaksanakan, dan sehingga kini 4 siri kursus telah berjaya dilaksanakan. Manakala 4 siri kursus lain akan dilaksanakan mulai minggu hadapan pada 27 - 29 April 2010. Kursus akan datang berfokus kepada Strategi Pengajaran Penulisan Berkesan untuk Guru Sekolah Menengah dan Rendah.
Guru-guru yang berminat untuk mengikuti siri kursus akan datang diminta menghubungi Unit Bahasa JPN Kelantan di talian 09-7418365 atau emel ke unitbahasa@yahoo.com dengan menyatakan maklumat diri seperti nama, sekolah, no telefon sekolah dan diri.
Guru-guru yang terpilih akan dimaklumkan oleh pihak jabatan melalui surat panggilan kursus. Guru-guru yang terpilih mengikuti kursus-kursus berkenaan dikehendaki membantu PPD masing-masing dan JPN sebagai JU atau Fasilitator bagi mengadakan kursus pada masa akan datang.
Guru-guru yang berminat untuk mengikuti siri kursus akan datang diminta menghubungi Unit Bahasa JPN Kelantan di talian 09-7418365 atau emel ke unitbahasa@yahoo.com dengan menyatakan maklumat diri seperti nama, sekolah, no telefon sekolah dan diri.
Guru-guru yang terpilih akan dimaklumkan oleh pihak jabatan melalui surat panggilan kursus. Guru-guru yang terpilih mengikuti kursus-kursus berkenaan dikehendaki membantu PPD masing-masing dan JPN sebagai JU atau Fasilitator bagi mengadakan kursus pada masa akan datang.
Wednesday, 7 April 2010
Pengisian dan Pengemaskinian Data Saringan 1 LINUS (Literasi)
Perhatian kepada semua Pegawai Bahasa PPD dan Guru-guru LINUS Tahun 1 sekolah rendah negeri Kelantan, tuan/puan diminta mengisi dan mengemaskinikan maklumat dan data Saringan 1 LINUS (Literasi) sekolah masing-masing melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat www.moe.gov.my/nkra. Data Saringan 1 LINUS perlu dimasukkan secara talian terus kepada KPM sebelum 20/04/2010 (tarikh lanjutan).
Guru-guru juga diminta menghantar satu salinan data tersebut kepada PPD masing-masing untuk rujukan PPD dan JPN.
Guru-guru juga diminta menghantar satu salinan data tersebut kepada PPD masing-masing untuk rujukan PPD dan JPN.
Friday, 2 April 2010
Tuan Haji Hussain Awang, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan yang baru. Tahniah!
Tahniah diucapkan kepada Tn.Haji Hussain Awang, Pengarah Pelajaran Kelantan yang baru dilantik memegang jawatan tersebut pada 1 April 2010 bagi menggantikan Dato' Hj.Mohd Ghazali Ab.Rahman, Mantan Pengarah Pelajaran Kelantan yang bertukar ke Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya. Pelantikan Tn.Hj.Hussain Awang sebagai Pengarah Pelajaran Kelantan yang baru juga diibaratkan 'sirih pulang ke gagang' kerana sebelum ini beliau merupakan mantan Ketua Sektor Jaminan Kualiti, JPN Kelantan sebelum bertukar ke Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai Timbalan Pengarah Dasar, Bahagian Pengurusan Sekolah KPM. Sebagai seorang bekas pendidik, pengetua, pegawai pelajaran daerah dan terakhir ketua sektor di JPN Kelantan, beliau diyakini mampu membawa kecemerlangan yang lebih melonjak untuk pendidikan negeri Kelantan.Tn. Hj. Hussain Awang yang terkenal sebagai seorang yang gigih bekerja dan mesra dengan semua orang, namum mempunyai ketegasan yang tersendiri sememangnya layak memimpin warga pendidikan seluruh Kelantan bagi mencapai kecemerlangan yang telah diteruskan oleh Mantan Pengarah Pelajaran Kelantan sebelum ini. Sebelum itu, dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Tugas baru-baru ini, beliau meminta semua warga pendidikan JPN Kelantan, PPD, pentadbir sekolah dan guru-guru agar memberi kerjasama yang padu kepada beliau dan bersama-sama memberi komitmen tinggi bagi menjayakan agenda pendidikan negeri Kelantan.
Apa tanda si batang tebu
Batang tebu halus uratnya
Apa tanda orang berilmu
Orang berilmu tinggi budinya
Selain itu, ucapan tahniah juga disampaikan kepada YBhg Dato' Hj.Mohd Ghazali Ab. Rahman, mantan Pengarah Pelajaran yang telah dianugerahkan Pingat Darjah Setia Mahkota yang membawa gelaran Dato' oleh YTM Pemangku Sultan Kelantan sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Kelantan baru-baru ini. Sesungguhnya dengan penganugerahan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja kepada Dato' Hj.Mohd Ghazali Ab Rahman, tetapi turut dikongsi bersama oleh seluruh warga pendidikan negeri Kelantan. Penganugerahan itu juga sebagai satu pengikhtirafan kepada beliau yang telah banyak menyumbang bakti dan jasa menaikkan kecemerlangan pendidikan negeri Kelantan.
"Akar keladi melilit selasih,
selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman.