Monday 28 September 2009

Usaha "Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris" MBMMBI

Berikut merupakan usaha KPM dalam memperkasa dan memartabatkan kembali kedudukan Bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan negara. Di samping itu, KPM tidak melupakan terus langkah mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pendekatan penuh diplomasi dan terancang ini harus dilihat sebagai usaha proaktif dan langkah terbaik bagi menangani isu yang pernah menimbulkan kontroversi dan polemik hangat tidak lama dahulu. Kita perlu memahami dan berusaha menghayati secara ilmiah pendekatan yang diambil, yang dianggap tidak terlalu 'gopoh' dan penuh harmoni.

Friday 25 September 2009

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009


Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 akan mula disambut dan diraikan selepas Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 dijangka diadakan pada 2 Oktober 2009, di Kuching, Sarawak. YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dijangka akan merasmikan majlis pelancaran BBK 2009 berkenaan. Unit Bahasa JPN Kelantan turut serta dalam memastikan sambutan BBK 2009 disemarakkan di Kelantan melalui beberapa agenda dan aktiviti berkaitan kebahasaan dilaksanakan di seluruh negeri. Aktiviti berkenaan akan digerakkan secara bersama dengan DBP Wilayah Timur dan Pejabat SUK Keantan, selaku Pengerusi Sambutan BBK 2009 peringkat negeri. Antara aktiviti yang akan dilaksanakan ialah:

1. Majlis Pelancaran BBK 2009 Peringkat Negeri Kelantan - 6 Oktober 2009 di Pusat Perdagangan Kelantan.

2. Perhimpunan BBK 2009 di seluruh sekolah negeri Kelantan bermula 3 - 30 Oktober 2009.

"Bersama-sama Memartabatkan Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan"

Download lagu " BAHASA JIWA BANGSA "


http://www.ziddu.com/viewfile/6821133/bahasajiwabangsa.wma.html

Tuesday 15 September 2009

Mesyuarat Key Performance Indicator KPPM

Unit Bahasa Melayu, JPN telah dijemput menghadiri satu mesyuarat untuk membincang dan memurnikan penetapan KPI KPPM berhubung dengan pencapaian penguasaan 2M (Menulis & Membaca) bersama-sama Bahagian Pendidikan Khas, KPM. Mesyuarat tersebut diadakan di Kapas ISland Resort, Terengganu pada 14 September 2009. Semua Pegawai Bahasa JPN telah menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Bahagian Pendidikan Khas, KPM. Antara lain mesyuarat memutuskan untuk melaksanakan penetapan KPI KPPM ke arah meningkatkan penguasaan 2M di kalangan murid-murid sekolah sekurang-kurangnya 1.0% setahun. Pegawai Bahasa Melayu JPN telah diminta melaksanakan program dan aktviti bagi mencapai matlamat berkenaan.

Sunday 13 September 2009

Mesyuarat Penyelarasan Latihan Literasi & Numerasi BPK KPM

Unit Bahasa JPN telah dijemput menghadiri satu Mesyuarat Penyelarasan Latihan Literasi & Numerasi oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM yang berlangsung pada 15 - 16 September 2009 bertempat di Hotel Prescot, Kajang. Mesyuarat berkenaan bertujuan untuk membincangkan kaedah latihan yang akan diberikan kepada guru-guru Bahasa Melayu bagi melaksanakan kaedah pengajaran & pembelajaran literasi yang lebih berkesan pada tahun 2010. Mesyuarat tersebut sebahagian daripada perancangan KPM ke arah memantapkan dasar MBM (Memperkasakan Bahasa Melayu) dan mencapai KPI mengikut NKRA kementerian yang telah ditetapkan. Konsep LINU ini dijangka akan menggantikan pelaksanaan KIA2M dan Protim sebelum ini mulai 2011.

Wednesday 9 September 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR 2009

Unit Bahasa Melayu JPN Kelantan mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR 2009 kepada semua murid tahun 6 yang menduduki peperiksaan mulai 8 - 10/9/2009. Semoga semua calon UPSR dapat menjawab soalan dengan baik dan berkesan. Semoga Berjaya !

Tuesday 1 September 2009

Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Bahasa Melayu BPG-JPN 2010

2/9/2009 - Satu Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Bahasa Melayu antara Bahagian Pendidikan Guru dengan Ketua-Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu JPN seluruh negara telah diadakan pada 2/9/2009 bertempat di Bilik Mesyuarat KDP, Kem.Pelajaran Malaysia. Mesyuarat yang pertama kali diadakan antara BPG - JPN bertujuan untuk menyelaras program dan aktiviti Bahasa Melayu peringkat negeri untuk 2010 ke arah melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM). Mesyuarat yang dipengerusikan oleh En.Romainor Ali, Pegawai Matematik BPG telah dihadiri oleh semua KPP Bahasa Melayu JPN seluruh negara. Keputusan mesyuarat banyak memfokuskan perancangan dan pelaksanaan program Bahasa Melayu untuk tahun 2010 dengan memberi penekanan kepada 4 perkara utama, iaitu:

i. Memperkukuhkan penguasaan Tatabahasa di kalangan guru-guru Bahasa Melayu.
ii. Memantapkan pedagogi berkesan guru-guru Bahasa Melayu.
iii. Menyuburkan seni warisan bangsa dan kesusasteraan Melayu di dalam pengajaran Bahasa Melayu.
iv. Meningkatkan penguasaan asas Menulis dan Membaca di kalangan pelajar sekolah.

Perancangan ini bersesuaian dengan matlamat kerajaan dalam mencapai sasaran NKRA dan NKPI khususnya bagi sektor pendidikan negara.

SUDUT MAHIR BAHASA

Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh, walaupun perkataan tersebut terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja sebagai satu perkataan, iaitu:

antarabangsa, pesuruhjaya, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, warganegara, olahraga, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, matahari

Sajak Pilihan Akademik Bahasa

KEPADA PENDIDIK (Ar Azmi Seman)

alangkah mulia dan bermaknanya
setiap kali muridmu berkata, kau
memperbetulkan bahasanya
meskipun kau guru agama atau matematik cuma
akan lebih terdidik murid kita
bahasapun jadi indah dan mulia
kalau kita membuang sempadan
memartabatkan bahasa ibunda
sedangkan tanggungjawab kita lebih jauh daripada itu
bukan sekadar memberi mereka markah dan pangkat
tapi meneguhkan keyakinan dan kepercayaan
bahasa itu mulia letaknya
janganlah dibataskan pandangan
kiranya seribu pendidik sepertimu
akan terbenualah bahasa kita
jauh memancangkan batasnya
Marilah dengan tangan terbuka
Memuliakan bahasa ucapan kita
Tidak perlu kita harapkan siapa-siapa
Selain kita: pendidik bangsa!



SALASILAH BAHASA (Azhar Salleh)

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental
Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang
Asal usul bahasa bermukim
pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa