Thursday, 26 November 2009

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA 1430H

UNIT BAHASA MELAYU JPN KELANTAN MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA 1430H KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT. SEMOGA AIDIL ADHA INI MENJADI PENCETUS KEPADA KITA SEMUA UNTUK TERUS MELAKUKAN PENGORBANAN YANG SUCI DAN MURNI DI DALAM SETIAP GERAK KERJA DAN HALA TUJU KITA SEBAGAI KHALIFAH ALLAH!
SALAM PENGORBANAN DARIPADA AKADEMIKBAHASA !

Saturday, 21 November 2009

Tahniah & Syabas Sekolah BM 100%

Unit Bahasa JPN Kelantan merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan tahniah kepada 2 buah sekolah yang berjaya mencatat keputusan lulus 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Melayu Penulisan, iaitu:

SRA Tengku Amalin Aishah Puteri, Kota Bharu, dan SK Sungai Bagan, Machang

Manakala, sebanyak 15 buah sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, iaitu:
SK Bukit Tanah, SK Seri Wakaf Bharu, SK Zainab 2, SK Penggu, SK Perol, SK Raja Abdullah
SK Pulau Gajah, SK Beris Kubor Besar, SK Bendang Pauh, SK Chicha Tinggi, SK Baroh Pial, SK Bukit Gading, SK Chabang 3 Chetok, SK Bukit Awang, dan SK Pengkalan Kubor Salor

Sementara itu, SK Ladang Taku, Kuala Krai berjaya mencatat kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan.

Unit Bahasa JPN merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pentadbir, guru-guru Bahasa Melayu dan para pelajar UPSR 2009 yang telah memberikan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan keputusan tersebut. Teruskan usaha gigih anda semua !

Thursday, 19 November 2009

Keputusan UPSR 2009, Pencapaian Cemerlang !

19 Nov 2009 : Keputusan UPSR 2009 peringkat negeri Kelantan telah diumumkan oleh YABrs Hj.Mohd Ghazali Abd.Rahman, Pengarah Pelajaran Kelantan di Bilik Mesyuarat JPN, jam 10.00 pagi. Keputusan keseluruhan UPSR 2009 amat membanggakan, kerana dalam tempoh 6 tahun ini merupakan pencapaian yang terbaik Kelantan dengan seramai 25,369 calon atau 69.03 peratus mencapai kelulusan am, meningkat 2.25 peratus (seramai 529 calon) berbanding 2008. Manakala kecemerlangan calon semua A (5A & 7A) menunjukkan peningkatan ketara iaitu seramai 5,259 calon atau 14.31 peratus, dengan peningkatan 2.90 peratus atau 1,015 calon. Gred Purata Negeri juga meningkat iaitu 2.25 berbanding 2.32 pada 2008. Gred Purata Negeri juga berjaya mengatasi Gred Purata Kebangsaan. Sementara itu, pencapaian bagi Bahasa Melayu Pemahaman sebanyak 91.28 peratus dengan seramai 32,532 calon lulus, dan seramai 16,005 calon atau 44.91 peratus memperoleh gred A, manakala Bahasa Melayu Penulisan pula seramai 28,919 calon lulus dengan peratus 81.15, dan seramai 18,450 calon (51.77 %) memperoleh gred A. Namun demikian, pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu mengalami sedikit penurunan berbanding tahun 2008. Ini sudah tentu memerlukan daya usaha dan kesungguhan semua pihak bagi memastikan mata pelajaran Bahasa Melayu dapat dipertingkatkan pencapaiannya pada tahun 2010 selaras dengan dasar MBM.

Sunday, 15 November 2009

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM 2009

Unit Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan ingin mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2009 kepada semua calon SPM 2009. Semoga para pelajar sekalian dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan penuh keiltizaman untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Pesanan kepada semua calon, berikanlah tumpuan yang sepenuhnya dan sentiasa berdoa untuk memberi yang terbaik sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung. Kami sentiasa mendoakan kejayaan anda semua !

Wednesday, 11 November 2009

Mesyuarat Pemurnian dan Cuba Uji Modul Literasi Bahasa Melayu (Program LINUS)

10 - 11 Nov : Satu Mesyuarat Pemurnian dan Cuba Uji Modul Literasi Bahasa Melayu Tahun 1 untuk Program LINUS 2010 telah berlangsung di Permai Inn, Terengganu. Seramai 30 orang guru Bahasa Melayu tahun 1 dari beberapa buah sekolah negeri Kelantan terpilih mengikuti mesyuarat berkenaan dan terlibat di dalam cuba uji modul tersebut. Modul berkenaan yang telah dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM dengan kerjasama Jurulatih Utama Bahasa Melayu peringkat negeri dijangka akan digunakan untuk melatih guru-guru Bahasa Melayu tahun 1 seluruh negara bermula Disember 2009 hingga Februari 2010. Melalui mesyuarat tersebut, modul berkenaan telah dimurnikan dan dicubauji di kalangan guru-guru Bahasa Melayu yang terlibat. Unit Bahasa Melayu, JPN Kelantan turut diwakili oleh KPP Bahasa Melayu, En.Mohd Hassany Hashim sebagai pemerhati di dalam mesyuarat dan proses cubauji modul berkenaan.

Thursday, 5 November 2009

Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau 1

3 - 5 Nov 2009 - satu Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau 1 telah dianjurkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru, KPM. Konvensyen tersebut berlansung di Klana Resort, Seremban yang telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Hj.Alimuddin Hj.Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Melalui konvensyen berkenaan, sebanyak 35 kertas kerja berkaitan kaedah pedagogi Bahasa Melayu serantau telah dibentangkan. Pembentang kertas kerja terdiri daripada tokoh-tokoh bahasa, pensyarah IPTA tempatan dan luar negara, dan pengkaji bahasa. Negara serantau yang terlibat di dalam konvensyen tersebut antaranya dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Australia.
Unit Bahsa JPN Kelantan turut menghantar wakil peserta yang terdiri daripada seorang pegawai bahasa JPN dan enam orang Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Wakil peserta dijangka akan membentangkan hasil konvensyen tersebut kepada guru-guru Bahasa Melayu negeri Kelantan di dalam satu seminar yang akan diadakan tahun 2010. Ini bertujuan untuk menyebarluaskan ilmu dan kemahiran yang diperolehi demi memartabatkan Bahasa Melayu dan mempertingkatkan pedagogi guru Bahasa Melayu negeri.